• nabalunews

Hampir semua daerah di Sabah catat peningkatan kes Covid-19


2 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah merekodkan jumlah kes Covid-19 yang lebih tinggi berbanding kelmarin iaitu sebanyak 549 kes hari ini ekoran daripada peningkatan kes di hampir semua daerah di Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata sebanyak 16 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan sembilan daripadanya mencatatkan peningkatan ketara iaitu Beaufort (+32) kes, Kudat (+19) kes, Kota Belud (+18) kes, Kota Marudu (+18) kes, Tenom (+17) kes, Kinabatangan (+17) kes, Pitas (+13) kes, Lahad Datu (+12) kes dan Ranau (+11 kes).


Hanya tujuh daerah di Sabah yang mencatat kurang dari 10 kes manakala tidak ada kes yang dilaporkan di daerah Tongod dan Kalabakan.


“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 155 kes adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hingga lima hari selepas keputusan saringan diketahui.


“Kes-kes baharu yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu berjumlah 394 kes daripada jumlah kes keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Masidi, kes-kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah. Bagi kes dalam Kategori 3, jumlahnya adalah dua kes, Kategori 4, lima kes dan Kategori 5, tiga kes.


“Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2 iaitu 465 kes atau 81.7 peratus dan Kategori 1 sebanyak 69 kes atau 12.57 peratus. Lima kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” ujarnya.


Dari segi bilangan kes kematian, Masidi berkata sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Tawau manakala masing-masing dua kes di Keningau dan Tawau.


“Bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 535 orang termasuk yang discaj dari hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 208,136 orang.


“Manakala sebanyak 1,884 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 768 orang di hospital, 1,062 orang di PKRC, 17 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara dan satu orang di fasiliti swasta.


Jelas Masidi lagi, bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pada setakat hari ini ialah 79 orang merangkumi 75 di ICU serta empat kubikel akut dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.


Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 93 orang.