Harga diesel subsidi di Sabah, Sarawak kekal RM2.15 – Anwar
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

15 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter meskipun terpaksa menanggung subsidi yang besar berikutan kenaikan harga minyak dunia ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi hingga RM4.6 bilion pada tahun ini bagi kedua-dua wilayah berkenaan jika harga semasa diesel tidak berubah.
Daripada jumlah itu, menurut beliau, kira-kira RM2.2 bilion diperuntukkan kepada Sabah manakala lebih RM2 bilion kepada Sarawak.
“Tahun lalu, subsidi diesel di Sabah dan Sarawak hanya RM2 bilion atau masing-masing RM1 bilion berdasarkan harga diesel sebelum ini.
“Harga diesel di pam ketika ini ialah RM2.15 seliter, sedangkan kos sebenar telah mencecah sekitar RM4.30 seliter, iaitu hampir dua kali ganda. Ini bermakna setiap kali rakyat membeli diesel pada harga RM2.15 seliter, baki kos sebenar itu ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata, subsidi itu bukan sebahagian daripada peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau projek pembangunan, tetapi keputusan kerajaan bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api.
Tambahnya, perkara itu perlu difahami supaya rakyat mengetahui komitmen besar kerajaan dalam memastikan harga bahan api kekal rendah khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Subsidi ini bukan sebahagian daripada peruntukan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau projek pembangunan seperti sekolah, tetapi keputusan kerajaan bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api walaupun harga minyak dunia meningkat.
“Kita perlu tahu keadaan sebenar. Ada yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak peduli nasib rakyat Sabah, sedangkan hakikatnya kerajaan terus menanggung kos yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menanggung subsidi petrol RON95 yang mencecah kira-kira RM2 bilion setiap bulan atau sekitar RM24 bilion setahun bagi mengekalkan harga semasa.
Katanya, ketika ini kerajaan masih mampu mengekalkan subsidi berkenaan sebelum perkara itu dirunding semula mengikut keperluan semasa.
Katanya, berdasarkan keadaan ketika ini, kerajaan masih mampu mengekalkan subsidi berkenaan sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini, sebelum perkara itu dirunding semula mengikut keperluan semasa.















Comments