top of page
nabalunews

Hari Kebangsaan 2024 : Wira insiden tembakan Ulu Tiram pimpin ikrar Rukun Negara, laungan Merdeka

31 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Wira insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini.


Suasana menjadi lebih bermakna apabila suara lantang Mohd Khairul melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Putrajaya, seolah-olah mengimbau detik bersejarah laungan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


Acara bacaan ikrar itu turut disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.


Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, dua anggota polis di balai berkenaan terkorban selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.


Sementara itu, pensyarah yang juga penyelaras dan jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata, penampilan kali ketiga pasukan itu dalam acara penting negara ini dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada institusi berkenaan.


“Tahun lepas kami membuat bacaan ikrar dalam bahasa isyarat, kali ini kami melaksanakan bacaan ikrar secara lisan dengan formasi kawad dan pakaian seragam batik,” katanya kepada Bernama.


Sementara itu peluang memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 menterjemahkan semangat Mohd Khairul yang tidak pernah gentar untuk terus berbakti menjaga ketenteraman awam walaupun pernah melalui 'detik hitam' dalam kerjaya sebagai anggota polis.


Wira insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor berusia 23 tahun itu berkata, peristiwa tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi penyuntik keazaman untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.


"Saya mengambil iktibar daripada kes tembakan di Ulu Tiram. Ia menjadi pembakar semangat kerana saya tidak boleh lemah. Apa pun yang berlaku, saya mesti maju ke hadapan dan tidak boleh berpaling ke belakang.


"Walaupun rasa sedih kehilangan kawan (dalam insiden terbabit), tetapi itu tidak boleh mematahkan semangat saya. Itu pengorbanan mereka untuk negara tercinta ini," katanya ketika ditemui Bernama di Dataran Putrajaya di sini hari ini.


Mohd Khairul Azhar mengakui sangat berbangga dengan jemputan pengurusan Bukit Aman, yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin bacaan ikrar Rukun Negara dalam sambutan penting negara ini.


"Sejujurnya dalam gembira ada juga rasa gemuruh. Namun, Alhamdulillah, saya beranikan diri untuk mengambil cabaran ini dan mula berlatih sejak seminggu lalu," katanya yang kini bertugas di balai polis di Sabah sejak 16 Julai.


Beliau juga mengucapkan penghargaan atas peluang memimpin acara bacaan ikrar itu yang disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.


Insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, meragut nyawa dua anggota polis iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang merampas dua senjata api daripada anggota polis.


Seorang lagi anggota keselamatan, Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38, pula cedera akibat ditembak, manakala lelaki yang juga suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.


Mohd Khairul Azhar bersama Mohd Hasif dan Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, adalah anggota polis yang bergadai nyawa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika serangan di balai polis terbabit.

Comments


bottom of page