Hari Kedua SAR: Mangsa Jatuh Sungai Kampung Paka-Paka Belum Ditemukan
- nabalunews
- May 29
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
29 Mei 2026
KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Paka-Paka, Kota Belud, memasuki hari kedua pagi ini dengan pencarian difokuskan di kawasan hilir sungai, manakala mangsa masih belum ditemukan setakat laporan terakhir.
Ketua Koordinasi memulakan semula operasi pada jam 8:00 pagi tadi selepas operasi hari pertama tamat pada 12:30 tengah malam tanpa sebarang penemuan.
Mangsa lelaki tersebut dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6:00 petang semalam (28 Mei) semasa menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik.
Panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud pada jam 8:58 malam melalui talian balai, dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 9:10 malam dengan jarak perjalanan 10 kilometer dari balai. Operasi SAR awal diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jasree Mar bersama tiga anggota BBP Kota Belud, dengan turut serta agensi lain iaitu tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat, serta dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) .

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Elge Bakuk (017-6015922), memaklumkan bahawa pencarian diteruskan hari ini dengan penekanan di kawasan hilir sungai, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.















Comments