Hari Terbuka KTYS tawarkan peluang pendidikan
- Wartawan Nabalu News
- Apr 6, 2023
- 1 min read

6 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang berminat untuk melanjutkan pengajian di bidang kejuruteraan dan sains boleh menghadiri Hari Terbuka Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) Kampus Bandaraya Sembulan pada 13 dan 14 April ini.
Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki berkata hari terbuka tersebut akan diadakan dari jam 9 pagi hingga 2 petang dengan pelbagai aktiviti menarik seperti campus tour, lucky draw, taklimat kursus dan pembiayaan pembelajaran.
Beliau berkata hari terbuka itu juga merupakan peluang untuk pelajar-pelajar baharu mendaftar secara walk-in untuk sesi kemasukan Julai dan Ogos tahun ini.
“Kita akan memberikan diskaun RM50 untuk 30 pelajar pertama yang mendaftar setiap hari. Ini adalah satu insentif untuk menggalakkan pelajar-pelajar memilih KTYS sebagai pilihan utama mereka,” katanya.
Tambah beliau, KTYS menawarkan program diploma dan Program Asasi Sains (FIS) yang boleh membawa pelajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan Program Dwi-Ijazah berteraskan kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan beberapa universiti di Jerman dan di Beijing, China.
“Syarat kemasukan untuk program diploma adalah lulus SPM atau SPMV dengan tiga kepujian dalam mana-mana mata pelajaran serta lulus Bahasa Melayu dan Matematik. Manakala FIS meletakkan syarat lima kepujian dalam SPM atau SPMV termasuk Matematik dan dua mata pelajaran Sains serta lulus Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris,” jelasnya.
Dalam pada itu, Samin juga memaklumkan bahawa salah seorang Alumni Program Asasi Sains KTYS, Joel Marianus Mukui telah berjaya menamatkan pengajian di Hochschule Reutlingen University, Jerman dengan kelulusan Bachelor of Science – International Operations and Logistics Management.
Commentaires