• Wartawan Nabalu News

Harus Cakap Serupa Bikin, Jeffrey Perlu Bentangkan Usul Kerajaan - ADUN PH



31 Ogos 2021


Susulan respon daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan, kami menggesa beliau agar membentangkan usul daripada kerajaan untuk membuat enakmen bagi membolehkan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang lebih baik untuk menangani pandemik Covid-19.


“Kita mesti menyediakan enakmen ini supaya kita mempunyai bidang kuasa yang diperlukan,” kata Jeffrey yang dilaporkan semasa diminta memberi respon kepada usul yang telah kami hantar ke pejabat Dewan Undangan Negeri.


Memandangkan Jeffrey merupakan ahli kabinet Kerajaan, kami pasti menyokong sekiranya beliau dapat membentangkan usul daripada kerajaan ini untuk diwartakan semasa sidang DUN akan datang sekiranya beliau benar-benar ikhlas mengenai usul ini.


Kami telah mengemukakan usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (2) supaya satu ketetapan untuk membuat enakmen baharu berkaitan pencegahan dan pengawalan penyakit seterusnya memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada Kerajaan Negeri untuk membuat keputusan penting bagi menyokong sistem kesihatan kita semasa berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.


Jika Jeffrey berniat ikhlas dalam perkara ini, beliau sepatutnya yang membentang usul ini daripada kerajaan. Ini kerana dalam sistem parlimen Westminster, usul-usul dan urusan-urusan Kerajaan sentiasa akan dibentangkan di Dewan Undangan.


Kami berpendapat, dalam usaha memperkasakan Kerajaan Negeri, kita sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih besar dalam isu-isu berkaitan kesihatan contohnya seperti program vaksinasi. Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan serta membolehkan tindakan cepat bagi menghadapi kes harian yang semakin meningkat di Sabah.


Kita akan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang lebih teruk jika kita terus bersikap tunggu dan lihat. Sistem kesihatan di Sabah semakin tenat kerana berhadapan dengan kekurangan infrastruktur dan sumber manusia.


Kerajaan Negeri harus memberi tumpuan besar kepada perkara ini dan membuat enakmen baharu yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri bagi menyediakan sumber dan juga menubuhkan kementerian yang bertanggungjawab kepada hal-hal berkaitan kesihatan awam Sabah.


Sepertimana yang kita tahu, Sabah berhadapan dengan peningkatan kes yang sangat tinggi iaitu pada kadar 27%. Ini merupakan krisis terbesar pasca-merdeka dan kita mesti menanganinya bersama-sama.


Kami berharap Jeffrey sebagai Timbalan Ketua Menteri akan mengambil tindakan yang lebih wajar dan bukan memberi respon di media semata-mata. Inilah masanya Jeffrey membuktikan ketegasan beliau mengenai hak-hak autonomi Sabah yang beliau laungkan selama ini. Jika beliau gagal, maka ia pastinya amat mendukacitakan rakyat Sabah. Kami ingin mengulangi bahawa Kerajaan Negeri mesti lebih proaktif dan membentangkan usul ini sebagai usul Kerajaan, seterusnya kita pastikan usaha bipartisan ini berjaya untuk kebaikan rakyat Sabah.


EWON BENEDICK

ADUN KADAMAIAN merangkap NAIB PRESIDEN UPKO


PHOONG JIN ZHE

ADUN LUYANG merangkap KETUA PEMUDA PAKATAN HARAPAN SABAH