Hasil cukai diagih adil kepada semua negeri – Lim
- nabalunews
- Aug 25, 2025
- 2 min read

25 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan persekutuan diagihkan semula secara adil kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata projek pembangunan itu meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan lain-lain.
“Sebagai contoh, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, projek membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, Central Spine Road di Pahang dan Kelantan serta projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu sama ada kerajaan Persekutuan akan berkongsi hasil cukai negeri dalam usaha menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan.
Lim berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan di setiap negeri.
Menurutnya, pendekatan yang diambil sebagai pulangan kembali kepada hasil kutipan yang dikutip adalah melalui mekanisma pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta menerusi peruntukan tahunan berdasarkan belanjawan yang diluluskan.
“Pemberian ini dalam bentuk geran tahunan dan disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri, selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, keputusan Jemaah Menteri dan keputusan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Chow sama ada kerajaan Persekutuan akan menyemak semula Perlembagaan untuk berkongsi hasil cukai sebanyak 20 atau 30 peratus, Lim berkata kaedah yang diamalkan pada masa ini akan dikekalkan.
Menurutnya, kerajaan berpandangan sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia ketika ini seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan khususnya berkaitan pengurusan hal kewangan termasuk percukaian sewajarnya diteruskan.
“Pembahagian kuasa percukaian adalah satu ciri fundamental dalam struktur federalisme Malaysia bertujuan mewujudkan sebuah negara yang kukuh dari segi ekonomi dan pada masa sama memastikan pembangunan seimbang di antara wilayah dan negeri.
“Kerajaan komited untuk memastikan hasil cukai yang dikutip Persekutuan diagihkan semula kepada semua negeri termasuk negeri dengan sumber ekonomi terhad melalui pemberian tahunan serta pelaksanaan projek-projek pembangunan,” katanya.















Comments