Hentikan intimidasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang: Munirah

24 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis Munirah menyeru agar Ahli Parlimen diberikan kebebasan untuk terus bersuara secara bertanggjawab untuk menjaga asas kewujudan demokrasi negara ini.
Sehubungan itu katanya, intimidasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang perlu dihentikan segera kerana langkah ini sudah ke belakang dan memburukkan imej negara
Beliau berkata demikian berikutan soal siasat polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang dari Sepanggar, Datuk Azis Jamman berkenaan ucapan perbahasan belanjawan yang menyentuh tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA16) serta layanan dan ketidak-adilan pembahagian peruntukan terhadap negeri Sabah.
“Parlimen adalah platform yang membolehkan apa saja aduan dan suara rakyat diketengahkan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen.
“Sekiranya kenyataan yang Ahli Parlimen utarakan dalam Dewan pun boleh dipanggil polis untuk disoal siasat, dimana kebebasan seorang Ahli Parlimen itu?
“Adakah Parlimen hanya membenarkan wakil rakyat memuji-muji pemerintah sedangkan amanah yang kami pikul adalah membawa suara sebenar akar umbi?,” soalnya.
Munirah yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan mengaku agak terkejut setelah mendapat tahu hal tersebut, memandangkan majoriti Ahli Parlimen dari Sabah sering mengutarakan isu berkaitan MA63 termasuk dari pihak Kerajaan.
Menurut Munirah, ucapan Ahli Parlimen Sepanggar tersebut yang menyentuh perihal MA63 bukanlah perkara baru, malah layanan dan ketidak-adilan pembahagian peruntukan terhadap negeri Sabah oleh Putrajaya adalah topik harian yang dibualkan ramai rakyat Sabah secara terbuka.
“Apabila ada kebimbangan dan ketidakpuasan hati rakyat, maka itu adalah amanah kami untuk membawa ke saluran yang betul untuk diberikan perhatian.
“Adakah kerana kedudukan Ahli Parlimen Sepanggar di blok pembangkang maka berlakunya intimidasi agar Ahli Parlimen yang lain tidak lagi membawa isu ini untuk diberikan perhatian?
“Intimidasi sebegini adalah satu langkah ke belakang dan pastinya akan memburukkan imej negara,” ujarnya.
Comments