HKN berjaya tingkatkan aktiviti perniagaan koperator, usahawan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

HKN berjaya tingkatkan aktiviti perniagaan koperator, usahawan


Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyampaikan Ahugerah Koperasi Harapan 2023 kepada Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Keningau Sabah Berhad, turut disaksikan oleh Ewon (dua dari kiri) dan Suriani (kiri).


30 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Hari Koperasi Negara 2023 (HKN23) yang julung kalinya diadakan di Sabah berjaya meningkatkan aktiviti perniagaan warga koperator dan usahawan di negeri ini.


Beliau berkata, pada sambutan HKN23 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai baru-baru ini disertai 219 pempamer terdiri daripada koperator dan usahawan dari seluruh Sabah.


“HKN23 mendapat sambutan amat memberansangkan dengan kehadiran seramai 10,000 pengunjung. Bagi tempoh tiga hari, jualan pempamer direkodkan mencecah RM1.5 juta dengan Jualan Madani Koperasi berjumlah RM90 ribu.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Manakala nilai prospek perniagaan dalam sesi padanan perniagaan pula berjumlah RM46.9 juta. Selain itu 17 buah Foodtruck menyertai sambutan itu dengan catatan hasil jualan berjumlah RM101.5 ribu,” katanya.


Beliau berkata demikian demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23), di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Ewon berkata, bagi membantu Kerajaan menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengambil inisiatif menjenamakan semula kedai-kedai koperasi di seluruh negara secara berperingkat di bawah satu nama sahaja iaitu CoopMart bagi menyeragamkan model perniagaan mereka.



“Sehingga kini, sebanyak 2,581 kedai runcit koperasi dengan jenama CoopMart telah beroperasi di seluruh negara.


“Melalui rangkaian CoopMart ini, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.


“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah memperkenalkan pakej Jualan RAHMAH, sebagai usaha untuk menggalakkan orang ramai berbelanja serta meneruskan langganan di CoopMart, Kementerian melalui SKM telah melaksanakan Pelaksanaan Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 20% daripada harga pasaran,” katanya.


Katanya lagi, gerakan koperasi juga telah diberi tanggungjawab untuk membantu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara (food security) melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan.



“Sehingga kini, terdapat sebanyak 172 koperasi telah terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan yang meliputi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembekalan input pertanian/ternakan,” katanya.


Pada majlis itu, turut disampaikan lapan anugerah koperasi iaitu Anugerah Sektor Perkhidmatan Kewangan, Anugerah Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Anugerah Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Sektor Perladangan, Anugerah Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan, Anugerah Sektor Pembangunan Hartanah dan Industri Pembinaan, Anugerah Koperasi Harapan 2023 dan Anugerah Koperasi Khidmat Masyarakat 2023.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir mewakili Ketua Menteri Sabah, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin, Ketua Setiausaha Kementerian Dato’ Sri Suriani Dato Ahmad, pengerusi Eksekutif skm Rusli Jaafar, pegawai-pegawai kanan kementerian dan ketua-ketua agensi kementerian.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page