Honda CRV terbakar di Sandakan

19 Ogos 2024
SANDAKAN : Penduduk di sekitar Taman Perumahan IJM, Batu 6 di sini gempar apabila sebuah kereta jenis Honda CRV model 2004 terbakar, petang tadi.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.32 petang.
Katanya sepasukan 9 anggota dari BBP Sandakan bersama sebuah jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer ke lokasi bagi melakukan operasi pemadaman.
Severinus berkata pasukan bomba menjalankan pemadaman api menggunakan 1 aliran salur bantu mula dan kebakaran itu dapat dikawal pada jam 4.48 petang.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.06 petang setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud dilokasi kejadian," katanya.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Comments