Hormati dan laksana Perjanjian Malaysia 1963: UpkoHormati dan laksana Perjanjian Malaysia 1963: Upko
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hormati dan laksana Perjanjian Malaysia 1963: Upko


27 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan supaya memastikan pindaan terhadap Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan benar-benar mengiktiraf keistimewaan Sabah sebagai rakan setara dengan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.


Oleh demikian, UPKO mengemukakan usul untuk menghormati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 semasa Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021 yang dibentangkan oleh Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu.


Dr. Luarentius berkata, tafsiran “The Federation” merujuk kepada penubuhan sebuah Persekutuan yang baru dikenali sebagai Malaysia.


“UPKO mendesak Kerajaan supaya meneruskan dalam membuat beberapa Pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan agar segala aspirasi dan tujuan di dalam Perjanjian Malaysia ini dapat dicapai dan dimuktamadkan.


“Ini bagi memastikan Kerajaan Persekutuan komited dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia dan menghormati kuasa-kuasa serta hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Oleh itu UPKO merakamkan sokongan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 untuk meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam mengembalikan status sebagai rakan sama rata dan pengikhtirafan Penubuhan sebuah Persekutuan baru yang di kenali sebagai Malaysia dikalangan empat entiti berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963,” katanya semasa Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021 di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.


Beliau berkata Upko menyedari fakta bahawa Persekutuan Malaysia ditubuhkan bersama oleh empat entiti,iaitu Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura melalui Perjanjian Malaysia yang turut ditandatangani oleh The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland pada tahun 1963.


“Perjanjian Malaysia merupakan satu dokumen perjanjian antarabangsa dan merupakan dokumentasi asas dan utama penubuhan negara Malaysia dan menjadi panduan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.


“Semangat dan aspirasi asal penubuhan negara Ini sememangnya satu wawasan yang sangat hebat, akan tetapi rakyat Sabah masih lagi meragui serta mempunyai banyak kerisauan, rintihan, persoalan dan ketidak puasaan hati kerana aspirasi asal ini seolah-olah tidak dihormati dan dinikmati terutama sekali dalam bidang ekonomi, pembangunan, pentadbiran awam, sumber aslinya dan sebagainya.


“Sehubungan itu, semangat nasionalisme dan kesedaran di kalangan rakyat Sabah semakin tinggi khususnya yang berkaitan dengan niat dan aspirasi asal Perjanjian Malaysia dan urus tadbir negara ini,” katanya.


Ujarnya, Kerajaan Persekutuan telah baru-baru ini memperkenalkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 untuk meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.


“Cadangan Pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan untuk mengembalikan peruntukan asal Perkara 1(2) Perlembagan Persekutuan sebelum dipinda pada tahun 1976 dan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sama rata atau "equal partners' dengan Semenanjung Malaysia seperti yang diniatkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.


“Pindaan terhadap Perkara 160 (2) adalah bertujuan untuk mengantikan tafsiran "The Federation" agar mengikhtiraf Penubuhan sebuah Persekutuan yang baru dikenali sebagai Malaysia dikalangan empat entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura melalui Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Tags:

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page