Hormati perlembagaan dan proses pemilihan yang telah selesai - UPKO Kota Belud
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hormati perlembagaan dan proses pemilihan yang telah selesai - UPKO Kota Belud

28 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Semua ahli Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO) diingatkan untuk menghormati perlembagaan parti dan proses pemilihan parti yang telah selesai.


Setiausaha Penganjur UPKO Bahagian Kota Belud Dr Rizoh Bosorang menyatakan keputusan berkaitan pemilihan parti telahpun dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang telah diadakan pada 28 September 2022 dan sepatutnya kepimpinan baharu sudah dipilih pada 15-16 Oktober yang lalu jika tidak ditunda bagi memberi tumpuan kepada persiapan pilihanraya umum.


“Bahagian-Bahagian UPKO telah mengemukakan pencalonan bagi jawatan Presiden dan lain-lain jawatan dalam Majlis Tertinggi. Sebenarnya bukan rahsia dalam parti bahawa Datuk Ewon Benedick mendapat pencalonan lebih dua pertiga daripada Bahagian-Bahagian UPKO.


“Bagaimanapun, Presiden Datuk Madius Tangau membuat kenyataan yang sangat diplomatik untuk tidak mempertahankan jawatan. Proses pemilihan parti mengikut perlembagaan telahpun selesai dan kami meminta semua ahli menghormati proses yang telah selesai ini.


“Malah Dato Seri Anwar telahpun menjemput Ewon untuk memberikan kata aluan sebagai bakal Presiden UPKO semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan di Parlimen pada 5 Oktober 2022 yang lepas,” katanya.


Rizoh menyatakan kesatuan dalam parti sangat mustahak bagi menambahkan sokongan daripada pelbagai segmen rakyat, termasuk bekas ahli-ahli parti yang mahu kembali kerana berlakunya keputusan peralihan kepimpinan dalam parti.


“Kami mengucapkan tahniah kepada Datuk Madius kerana berjaya mempertahankan kerusi parlimen Tuaran dan kami juga berbangga dengan Datuk Ewon yang telah mengambil risiko dan berjaya menambah kekuatan UPKO dengan memenangi kerusi parlimen Penampang.


“Kami di UPKO Kota Belud telah dididik untuk membina pasukan dan membuat keputusan berasaskan kepentingan pasukan parti. Saya percaya Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan parti juga telah membuat keputusan berkaitan dengan halatuju parti yang terdekat ini terutama berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim dan bagaimana UPKO boleh memainkan peranan dalam kerajaan ini.


“Kita mesti menghormati keputusan yang telah dibuat bersama, bukan mahu hanya seorang sahaja yang membuat keputusan,” katanya.


Rizoh juga menyatakan harapan agar Persidangan Perwakilan Persidangan Tritahunan UPKO pada 14-15 Januari 2023 berjalan lancar mengikut perlembagaan parti dan keputusan yang telah dimuktamadkan selama ini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page