HOSPITAL MEDAN TAWAU JANGKA LANJUT OPERASIHOSPITAL MEDAN TAWAU JANGKA LANJUT OPERASI
top of page
  • nabalunews

HOSPITAL MEDAN TAWAU JANGKA LANJUT OPERASI


12 NOV 2020


TAWAU: Hospital Medan Tawau yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka melanjutkan operasi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi bagi menyokong Hospital Tawau menangani COVID-19.


Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata perkara itu berdasarkan trend semasa peningkatan wabak itu di Sabah dan khususnya daerah Tawau.


"Mengikut perancangan awal Hospital Medan ini beroperasi selama tiga bulan bagi menyokong Hospital Tawau menangani pesakit bukan COVID-19, namun berdasarkan trend semasa peningkatan wabak ia bakal dilanjutkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Hospital Medan Tawau ketika ini menumpukan peningkatan keupayaan kepakaran serta fasiliti agar menjadi satu hospital yang lebih lengkap.


Beliau berkata tahap kepenggunaan hospital itu mencapai 45 peratus sejak dibuka pada 20 Okt lalu dan telah merawat lebih 466 pesakit bukan COVID-19.


"Kejayaan Hospitan Medan ATM ini harus dibanggakan oleh rakyat Sabah kerana kolaboratif yang ditunjukkan antara ATM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sangat berkesan.


"Penubuhannya juga sangat bertepatan ekoran peningkatan mendadak kes wabak di daerah ini sehinggakan Hospital Tawau tidak berupaya menangani pesakit positif COVID-19 dan yang lain," katanya.


Mengulas lanjut, hospital itu turut memberi impak signifikan dan dapat membantu penyediaan tambahan sebanyak 25 peratus daripada kapasiti di Hospital Tawau bagi keperluan pesakit bukan COVID-19.


Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata operasi Hospital Medan itu memberi nilai tambah kepada petugas kesihatan Hospital Tawau dengan pengalaman luar daripada rutin di Hospital Tawau. - Bernama


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page