HOSPITAL SABAH TERIMA PERALATAN PERUBATAN RM2.5 JUTA DARIPADA YAYASAN PETRONAS
- nabalunews
- Nov 9, 2020
- 2 min read

9 Nov 2020
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah menerima bekalan dan peralatan perubatan bernilai RM2.5 juta daripada Petronas, melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya Yayasan Petronas.
Bekalan dan peralatan itu akan diedarkan kepada semua hospital awam dan klinik kesihatan bagi membantu para petugas perubatan barisan hadapan mengekang wabak Covid-19 di negeri ini.
Sumbangan itu diserahkan Ketua Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman kepada Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dalam satu majlis ringkas di sini.
Rokiah berkata Petronas menyedari keperluan mendesak terhadap lebih banyak bekalan dan peralatan perubatan di hospital awam dan klinik kesihatan di Sabah.
“Kami berharap sumbangan ini dapat menjamin kesejahteraan barisan hadapan seterusnya membantu menangani kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Dr Rundi dalam kenyataan sama berkata Jabatan Kesihatan Sabah menghargai sumbangan daripada Yayasan Petronas itu bagi melengkapkan peralatan dan bekalan perubatan di hospital dan barisan hadapan di negeri ini dalam menguruskan kes Covid-19.
Beliau berkata, sejak minggu lepas sebanyak 10 unit respirator pembersih udara, dua unit alat pelembap udara dengan penjana aliran bersepadu dan lima unit monitor tanda vital empat parameter telah dihantar ke enam hospital kerajaan di Sabah.
Hospital berkenaan ialah Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Keningau dan Hospital Lahad Datu.
Bekalan dan peralatan perubatan itu akan digunakan di unit rawatan, kecemasan dan trauma, unit rawatan rapi dan wad unit rawatan rapi pediatrik.
Selain itu, sebanyak 1,000 baju ‘jumpsuit’ dan 600,000 sarung tangan nitril akan diedarkan ke hospital awam dan klinik kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Pada September lepas, Yayasan Petronas menyumbang sebanyak 1,504 botol pensanitasi tangan, 2,500 keping pelitup muka dan 2,390 gaun perubatan ke Hospital Queen Elizabeth dan yayasan itu turut menyumbang dua unit alat bantuan pernafasan ke hospital itu pada Ogos.
April lepas, sebanyak 14 katil untuk unit rawatan rapi diserahkan ke beberapa hospital di Sabah termasuk Hospital Labuan.
Comments