Hubungan diplomatik, ekonomi diperkukuh, realisasi potensi ASEAN-China
- nabalunews
- Nov 9, 2024
- 1 min read

9 November 2024
BEIJING: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 4 hingga 7 November lalu berjaya menjana potensi eksport mencecah RM3.2 bilion dalam tempoh singkat sekali gus memperkukuhkan jaringan ekonomi yang sekian lama terjalin.
Lawatan itu juga berjaya mengeratkan lagi hubungan diplomatik Malaysia bersama negara tembok besar itu.
Anwar memulakan lawatannya dengan kata-kata, China bukan sekadar rakan perdagangan utama, malah “sahabat yang hebat Malaysia” di pentas dunia.
“Negara China itu sambutan sangat akrab dan dianggap kita ini sebagai kawan, jadi banyak-banyak hal seperti BRICS, kerjasama dua hala, MoU, perdagangan itu diberikan perhatian,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke China.
Sewaktu pertemuan Anwar bersama pelabur berpotensi, 30 syarikat China tampil menunjukkan minat dengan potensi perdagangan dalam pelbagai bidang.
Untuk rekod, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan mencecah RM450 bilion tahun lalu.
Peluang lawatan juga diambil Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperhebat kerjasama ekonomi dengan China bagi merealisasi potensi besar di peringkat serantau.
Dengan kesepakatan bersama China, blok ASEAN memiliki kemampuan memperkukuh saiz ekonominya menjadi antara yang terbesar di dunia.
Comentários