Ibu bapa berperanan penting membentuk masa depan anak mereka
27 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Ibubapa memainkan peranan dominan dalam membantu anak-anak mencapai kejayaan dalam akademik dengan menyediakan iklim rumah tangga yang harmoni, mengawasi pergaulan serta memberikan pendidikan agama dan dukungan belajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik berkata, ibu bapa adalah pembakar semangat kepada anak-anak untuk berusaha mencapai cita-cita mereka.
Menurut beliau, dalam era globalisasi ini, ilmu pengetahuan adalah kunci kepada kejayaan seseorang dalam apa juga bidang yang diceburi.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang (MAPC) 2023 SMK Keningau ll tahun 2024 di dewan sekolah itu.
Pada majlis itu Robert menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang penuh bermakna ini, terutama kepada pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) baru-baru ini.
Katanya, majlis apresiasi ini adalah sebagai tanda penghargaan pihak sekolah terhadap kegigihan mencapai kecemerlangan akademik dalam peperiksaan.
Beliau berharap, majlis ini dapat menjadi pendorong kepada pelajar untuk terus berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi di masa hadapan.
Comments