top of page

Ibu bapa perlu jadi pembimbing anak-anak dalam dunia digital – Ewon

  • nabalunews
  • 43 minutes ago
  • 2 min read

 

18 Ogos 2026

 

PENAMPANG: Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pembimbing kepada anak-anak dalam menghadapi dunia digital yang semakin berkembang, termasuk membantu mereka memahami risiko penggunaan media sosial dan internet.

 

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, keibubapaan digital bukan sekadar mengawal penggunaan telefon atau internet, lebih penting ialah memberi bimbingan kepada anak-anak.

 

“Anak-anak mungkin lebih pantas menggunakan teknologi, tetapi mereka masih memerlukan ibu bapa untuk membimbing mereka dalam soal nilai, pertimbangan dan membuat keputusan.

 

“Ibu bapa tidak semestinya perlu menjadi pakar teknologi, tetapi mereka perlu memahami dunia digital anak-anak dan mengetahui risiko yang mungkin mereka hadapi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Penutupan Program Keibubapaan Digital Siri III di Dewan Pagansakan Inobong, di sini, pada Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh KPP Bryan Matasing.

 

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perkembangan teknologi termasuk telefon pintar, media sosial, kecerdasan buatan (AI), permainan dalam talian dan pelbagai aplikasi digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

Katanya, teknologi membawa banyak manfaat termasuk memudahkan anak-anak mendapatkan bahan pembelajaran, meneroka ilmu baharu serta berkomunikasi dengan keluarga dan rakan.

 

Bagaimanapun katanya, perkembangan itu turut membawa pelbagai cabaran termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, ketagihan permainan serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

 

Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa supaya lebih banyak berbincang dengan anak-anak mengenai penggunaan media sosial, keselamatan akaun, privasi, pengurusan masa skrin serta risiko penipuan dalam talian.

 

“Kita mahu anak-anak berasa selamat untuk datang kepada ibu bapa apabila mereka menghadapi masalah di alam maya.

 

“Jika mereka menjadi mangsa buli siber, ditipu atau diganggu, mereka perlu tahu bahawa keluarga ialah tempat pertama untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan,” katanya.

 

Ewon berkata, teknologi tidak seharusnya dianggap sebagai musuh kepada keluarga kerana ia boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk pendidikan, komunikasi, pembelajaran, keusahawanan dan pembangunan diri sekiranya digunakan dengan betul.

 

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai integriti, empati, disiplin dan jati diri,” katanya.

 

Beliau turut berharap Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah terus memperluaskan program keibubapaan digital supaya lebih ramai keluarga mendapat manfaat.

 

Program Keibubapaan Digital Siri III anjuran LPPKN Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Parlimen P.174 Penampang dan UPPM Moyog itu merupakan kesinambungan siri pertama yang diadakan di Kampung Bukit Bendera, Kota Belud dan siri kedua di Kampung Piasau, Kota Belud.

 

Ewon berkata, penganjuran program secara berterusan itu penting dalam usaha memperkukuh institusi keluarga bagi menghadapi cabaran era digital.

 

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page