Ibu Bekerja, Anak Didera: Rakaman CCTV Dedah Perbuatan Penjaga
- nabalunews
- Apr 27
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
27 April 2026
TAWAU: Seorang wanita tempatan berusia 57 tahun ditahan polis selepas dipercayai menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan yang berada di bawah jagaannya di sebuah rumah di Taman Semarak, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, suspek yang merupakan penjaga kanak-kanak itu ditahan pada jam 3.45 petang semalam di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, Tawau, sejurus selepas ibu mangsa melaporkan kejadian tersebut ke Balai Polis Tawau.
“Ibu mangsa membuat laporan selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek bertindak tidak wajar terhadap anaknya ketika mangsa berada di tempat kerja. Rakaman itu turut menunjukkan beberapa perlakuan penganiayaan lain terhadap mangsa ketika berada di bawah jagaan suspek,” ujarnya.
Menurut beliau, suspek dipercayai seorang ahli keluarga yang dianggap boleh dipercayai dan diupah sebagai penjaga anak dengan bayaran bulanan RM450 sejak kira-kira setahun lalu.
Hasil tindakan pantas polis, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau serta Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek. Wanita berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak terpelihara dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku penganiayaan melalui talian 089-772121, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), atau balai polis berhampiran.















Comments