top of page
nabalunews

IBUBAPA CADANG MODUL SUBJEK MINGGUAN DIPERKENALKAN, ELAK MURID TERCICIR PdPR



22 Jan 2021

Oleh Syabil Syafi


KOTA KINABALU : Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi memutuskan rantaian wabah COVID-19 dilihat sebagai satu langkah terbaik.


Namun, faktor capaian internet yang lemah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau daripada keluarga yang kurang berkemampuan selain pemilikan gajet dilihat menjadi antara punca utama proses PdPR kurang berkesan.


Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu Musliati Moslimin berkata, pihaknya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan sesi PdPR menggunakan kaedah modul subjek yang disediakan sekolah pada setiap minggu agar murid tidak tercicir daripada sesi pembelajaran harian.


Musliati

“Kaedah ini dilihat boleh dilaksanakan dimana ibu bapa hanya perlu mengambil modul subjek yang disediakan untuk tempoh seminggu pada setiap Isnin dan perlu menghantar semula tugasan modul berkenaan ke sekolah pada tarikh yang ditetapkan oleh guru masing-masing.


“Seperti tahun lalu, ada segelintir murid yang tidak dapat mengikuti PdPR secara sepenuhnya atas faktor internet lemah mahupun ketiadaan gajet terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan,”katanya ketika dihubungi Nabalu News hari ini.


Musliati berkata, melalui kaedah penyediaan tugasan modul berkenaan, ibu bapa akan dapat memantau tugasan anak mereka selepas waktu bekerja dan sesi PdPR akan turut berjalan lancar tanpa ada halangan.


“Meskipun PKP, ada segelintir ibu bapa yang bekerja pada waktu siang dan jika tugasan melalui modul ini disediakan, penjaga akan dapat memantau dan mengajar anak mereka pada waktu malam meskipun tiada gajet mahupun internet.


“Tidak dinafikan PdPR melalui dalam talian sememangnya baik di negara ini namun masih belum boleh digunakan sepenuhnya oleh anak-anak disebabkan terdapat banyak gangguan terutama talian internet,”katanya.


Bagi seorang ibu, Zarith Daud berkata, cadangan bagi menyediakan modul untuk setiap subjek dilihat lebih mudah berbanding PdPR dalam talian selain memudahkan ibu bapa menyemak tugasan selepas waktu bekerja.


“Bagi saya yang bertugas dalam perkhidmatan penting (Essential Services) sememangnya bersetuju sekiranya PdPR melalui modul subjek yang disediakan sekolah ini dilaksanakan agar anak-anak tidak tercicir dalam pembelajaran harian.


“Selain itu, penggunaan data internet juga dapat dikurangkan dan membantu murid yang tiada kemudahan internet dan gajet. Selain itu, buku teks juga perlu diedarkan segera memandangkan ianya adalah sumber rujukan anak-anak ketika PdPR ini,”katanya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang ibu Miqayla Afizul yang turut bersetuju sekiranya modul subjek disediakan pada setiap minggu bagi membolehkan pemantauan dilaksanakan ibu bapa pada selepas waktu bekerja.


“Cadangan ini dilihat lebih mudah, ibu bapa boleh datang ke sekolah mengambil modul berkenaan setiap minggu secara pandu lalu dan sudah pasti murid juga akan dapat mengikuti pembelajaran dengan baik tanpa ada gangguan terutama bagi mereka yang kurang bekemampuan,”katanya.

Comments


bottom of page