Individu bersekongkol dengan penuntut Kumpulan Sulu lakukan jenayah berat, gugat kedaulatan negara
- Wartawan Nabalu News
- Jun 15, 2023
- 1 min read

15 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Individu yang bersekongkol dengan penuntut Kumpulan Sulu yang mendakwa hak terhadap Sabah telah melakukan sabotaj kepada keselamatan negara, kata pengamal undang-undang.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan tersebut adalah jenayah berat yang boleh dihukum dengan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
"Mana-mana pihak yang membantu penuntut Kumpulan Sulu adalah bertentangan dengan undang-undang negara. Mereka telah mencabar kedaulatan dan keamanan negara kita," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian berhubung tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menurut undang-undang jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberikan sebarang sokongan, bantuan atau bersekongkol dengan penuntut Kumpulan Sulu.
Anwar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap penuntut Sulu, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.
Menurut Mohamed Haniff Khatri, Seksyen 124K memperuntukkan antara lain bahawa sesiapa yang melakukan sabotaj secara langsung atau tidak langsung dengan apa cara sekalipun akan dihukum dengan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Berkongsi pendapat sama, peguam Datuk M Reza Hassan berkata hukuman penjara seumur hidup adalah setimpal dengan tindakan individu yang sewenang-wenangnya mencabar kedaulatan dan keamanan negara.
Peguam itu berkata tindakan kerajaan untuk mengambil tindakan menurut undang-undang jenayah yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang memberi sebarang sokongan terhadap penuntut kumpulan Sulu adalah sangat tepat.
"Kerajaan perlu mengambil tindakan keras terhadap sebarang percubaan yang mencabar kedaulatan dan keamanan negara dan ia perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia," katanya.















Comments