Individu disyaki kemuka tuntutan butir matan palsu ditahan SPRM Sabah
- nabalunews
- Oct 26, 2024
- 1 min read

25 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman seorang ahli perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah yang melibatkan pembekalan bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah bernilai kira-kira RM45,000.
Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan pemilik perniagaan berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi ketika hadir bagi memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi dan diperintahkan menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 November ini.
Perintah tahanan reman ke atas suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 di mana telah mengemukakan dua tuntutan bayaran kira-kira RM25,000 dan RM20,000.
“Tuntutan bayaran tersebut adalah bertujuan bagi membekalkan bahan mentah bagi pembaikan dan penyelenggaran sekolah tetapi pembekalan tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurut beliau lagi, pihaknya menjangkakan ada beberapa tangkapan susulan akan dibuat.


















Comments