• nabalunews

INDONESIA BERI SUNTIKAN VAKSIN COVID KEPADA WARGA EMAS


8 Feb 2021


JAKARTA: Indonesia yang telah memulakan proses vaksinasi COVID-19 sejak 13 Jan lepas untuk golongan berusia 18 tahun hingga 59 tahun, kini turut memberikan suntikan vaksin itu kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.


Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan berkata keputusan memberikan vaksin kepada golongan berkenaan yang bermula hari ini adalah berikutan data terkini merekodkan separuh daripada mereka yang meninggal dunia akibat virus itu adalah dalam kalangan golongan berusia.

Program vaksinasi Indonesia yang menyasarkan suntikan kepada lebih 182 juta penduduk itu dijangka diselesaikan sepenuhnya sebelum berakhir tahun ini.


Presiden Indonesia Joko Widodo menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Sinovac dari China bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan.


Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id., setakat hari ini, sebanyak 814,585 orang telah menerima suntikan pertama vaksin manakala 171,270 orang telah menjalani suntikan kedua.


Kes positif COVID-19 di Indonesia kini meningkat kepada 1,166,079 kes dengan tambahan 8,242 kes baharu dalam tempoh 24 jam manakala jumlah kematian akibat virus itu setakat ini sebanyak 31,763 orang dengan 207 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh berkenaan. - Bernama