Inisiatif Geran SME-UP Bantu Lonjakan Pembangunan Usahawan Sabah

KOTA KINABALU: Inisiatif kerajaan menyediakan geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) disifatkan sebagai langkah bertepatan dalam membantu usahawan tempatan.
Inisiatif yang disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, agensi di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu dijangka mampu mengurangkan beban kos, khususnya dalam aspek pemasaran produk.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Cyril Supain @ Christopher berkata, bantuan berkenaan mampu memberi ruang kepada peniaga tempatan meningkatkan daya saing produk masing-masing dalam pasaran.
Katanya, aspek pembungkusan dan pelabelan memainkan peranan penting dalam strategi pemasaran kerana ia mempengaruhi daya tarikan sesuatu produk.
“Malah pembungkusan dan pelabelan produk juga akan menjadi sebahagian daripada identiti dan penjenamaan sesebuah perniagaan.
“Pembungkusan yang menarik dan berkualiti sudah pasti berpotensi menarik lebih ramai pelanggan, selain membuka peluang untuk produk tempatan mendapat perhatian pelabur domestik mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai insiaitif kerajaan membantu 23 usahawan tempatan Sabah menerusi Geran SME-UP berjumlah RM230,000 yang dilancarkan, hari ini.
Inisiaitif yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Ia bagi membantu menambah baik pembungkusan dan pelabelan produk, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran.
Cyril berkata, pembungkusan dan label juga melambangkan identiti atau penjenamaan produk, sekali gus membantu membezakan tawaran produk atau perkhidmatan sesebuah perniagaan daripada pesaing di pasaran.
Katanya, peningkatan kualiti pembungkusan dan pelabelan juga boleh membantu usahawan membina imej produk yang lebih profesional serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap barangan keluaran tempatan.
Sehubungan itu, Cyril berharap inisiatif berbentuk geran seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang supaya lebih ramai usahawan SME.
“Inisiatif kerajaan seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan lagi kerana ia dapat membantu usahawan memperkukuh aspek pemasaran, meningkatkan daya saing serta mengembangkan pasaran produk mereka,” katanya.















Comments