Insentif RM2 juta bagi Program JMK seluruh negara tahun ini
22 April 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan insentif sebanyak RM2 juta bagi Program Jualan Madani Koperasi (JMK) di seluruh negara.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukkan itu disediakan sebagai ransangan kepada koperasi yang layak untuk membiayai pengurangan harga barang kawalan keperluan harian.
Selain itu katanya, ia juga tanda keprihatinan kerajaan dan usaha berterusan Kementerian, dalam menangani kos sara hidup rakyat pada masa kini, serta permintaan masyarakat setempat terhadap pelaksanaan JMK.
“Barang-barang kawalan adalah seperti gula, tepung, minyak masak, produk-produk koperasi serta barangan keperluan lain dengan kadar penjimatan sehingga 20 peratus dari harga pasaran.
“Saya berharap pelaksanaan program JMK secara berterusan di coopmart yang sedia ada, dapat membantu menyokong ‘menstabilkan’ harga barangan bukan sahaja harga barangan keperluan asas malah barangan keperluan lain.
“Ini kerana kebanyakkan coopmart mempunyai outreach yang meluas kerana berada di kawasan pendalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di Grand Merdeka Mall, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pegawai Eksekutif SKM ) Rusli Jaafar dan Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin.
Ewon berkata, kedai-kedai koperasi yang terlibat secara langsung dalam program JMK memperoleh peningkatan jualan sehingga 30 peratus secara purata.
“Ini menunjukkan disamping insentif yang diberikan dapat meringankan beban pembeli, ianya juga dapat membantu koperasi meningkatkan jualan di kedai coopmart mereka.
Ewon berkata, selaras dengan pelancaran Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) pada 12 Oktober 2023, DaKoM 2030 mensasarkan perolehan sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM73 bilion pada 2030 menerusi empat teras dasar dan 20 strategi.
“Terdapat tiga objektif utama yang perlu dicapai menerusi dasar baharu itu adalah menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, membentuk koperasi yang berkemampuan, kukuh, dan meletakkan koperasi sebagai model perniagaan pilihan dalam memacu pembangunan sosioekonomi Malaysia.
“Sebagai sebuah gerakan yang besar, Saya mengharapkan hala tuju strategik yang dirangka ini akan disambut baik dan dilaksanakan bersama-sama oleh semua koperasi termasuk koperasi di Kawasan Pantai Barat Utara ini.
“Saya ingin melihat akan ada koperasi daripada PBU ini yang tersenarai dalam Indek 100 buah Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang,” katanya.
Katanya, pelbagai inisiatif dan insentif telah disediakan oleh KUSKOP melaluinya SKM, iaitu pada Mei ini Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK), akan dilancarkan.
“Program ini merupakan rangsangan (stimulasi) perniagaan koperasi dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk/perkhidmatan koperasi.
“SKM mengambil inisiatif dengan mencadangkan pemberian insentif bantuan kepada koperasi bagi membantu koperasi yang terlibat dalam industri ini.
“Insentif JEJAK dijangka dapat menyokong penglibatan koperasi dalam industri pelancongan domestik dan juga sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Program ini saya akan lancarkan pada Mei ini,” katanya.
Comments