INSKEN Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama Kerajaan Negeri Sabah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

6 Februari 2026
KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama berterusan antara INSKEN dan Kerajaan Negeri Sabah dalam agenda pembangunan keusahawanan sosial dan inklusif.
Rombongan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni itu sempena kejayaan penglibatan INSKEN di World Economic Forum di Davos.
la turut dilihat sebagai simbol penghargaan INSKEN kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan berterusan dalam memperkasa ekosistem keusahawanan, khususnya melibatkan usahawan sosial, komuniti luar bandar dan perusahaan berasaskan komuniti.

Dalam pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri Sabah merakamkan penghargaan terhadap pendekatan INSKEN yang inklusif dan berfokus kepada keperluan setempat, terutamanya dalam membangunkan kapasiti usahawan Sabah agar lebih berdaya tahan, mampan dan bersedia untuk berkembang.
INSKEN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta rakan strategik negeri, termasuk Institute for Development Studies (Sabah) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), atas kerjasama erat dalam menjayakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menyokong pembangunan ekonomi inklusif di negeri ini.
Viviantie Sarjuni, berkata Sabah telah membuktikan pendekatan keusahawanan sosial yang berteraskan komuniti, kolaborasi rentas agensi dan pemerkasaan akar umbi mampu menangani jurang kemiskinan selain memelihara alam sekitar secara mampan.
"INSKEN melihat Sabah sebagai model rujukan penting dalam membangunkan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.
“Sebagai ekosistem perusahaan sosial kedua terbesar di Malaysia, status ini membuktikan model perniagaan perusahaan sosial berkesan dalam menangani cabaran ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
“Peranan kami adalah sebagai pemudah cara ekosistem, menghubungkan dasar, pelaksanaan dan rakan strategik bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh usahawan di semua peringkat," katanya.
Menurutnya, INSKEN kekal komited untuk menerajui agenda keusahawanan sosial dan pembangunan inklusif negara, serta berhasrat untuk memperluaskan model kejayaan Sabah ke negeri-negeri lain di Malaysia.
“Usaha ini selari dengan aspirasi INSKEN untuk membina ekosistem keusahawanan yang berdaya maju, berimpak dan memberi peluang saksama kepada semua usahawan, tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” katanya.














