IPD Kota Kinabalu Anjur Ceramah Anti-Rasuah Libatkan 141 Peserta
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 18 Ogos – Seramai 141 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyertai ceramah pencegahan rasuah dan salah guna kuasa yang dianjurkan di Dewan Serbaguna Balai Polis Inanam, semalam, bagi memperkukuh integriti serta akauntabiliti dalam kalangan warga polis.
Program anjuran IPD Kota Kinabalu itu menghadirkan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sebagai penceramah utama, iaitu Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Negeri Sabah, Pesuruhjaya Shamsul Osman, dan Ketua Cawangan Task Force SPRM Sabah, Penolong Pesuruhjaya Mohd Hudzail Mohd Mansor.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Shahrudin Mat Husain, bersama Timbalannya, Superintenden (SUPT) Syed Lot Syed Ab Rahman, serta ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua balai di sekitar IPD Kota Kinabalu.
Sepanjang sesi ceramah berlangsung, para peserta diberikan pendedahan mendalam berkaitan bentuk, risiko serta implikasi salah guna kuasa dan penyelewengan. Penekanan turut diberikan terhadap kepentingan menjaga amanah, mengamalkan integriti tinggi, serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh akauntabiliti sebagai penjawat awam.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan IPD Kota Kinabalu dalam memupuk budaya profesionalisme dan memastikan setiap warga kerjanya sentiasa menjunjung amanah, sekali gus memelihara kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan.















Comments