IPD Kota Kinabalu Terima Kepimpinan Baharu, PERKEP Juga Bertukar
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
20 Mei 2026
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Polis Datuk Jauteh Dikun, menjadi saksi dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.
Asisten Komisoner Polis (ACP) Kassim Muda menyerahkan tugas kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed AB Rahman, yang akan memegang jawatan sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah.
Pesuruhjaya Polis Sabah menyatakan keyakinan terhadap kemampuan beliau meneruskan kecemerlangan kepimpinan di IPD Kota Kinabalu.

Dalam ucapannya, Jauteh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ACP Kassim atas jasa, komitmen dan kecemerlangan sepanjang menerajui IPD Kota Kinabalu.
Beliau menyifatkan kepimpinan ACP Kassim sebagai penuh dedikasi, berintegriti dan memberi impak besar dalam memperkukuhkan imej serta kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di daerah ini.
ACP Kassim yang bakal menamatkan perkhidmatan wajib pada 20 Mei ini selepas 39 tahun berkhidmat, turut diraikan atas sumbangan besar dan pengalaman luas sepanjang karier kepolisannya.

Turut diadakan sesi serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kota Kinabalu antara Suziana Mohd Zain kepada Deputi Superintenden Polis (DSP) Halimah Abdullah, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Kota Kinabalu, yang turut disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah.
Jauteh menegaskan bahawa kepimpinan di peringkat daerah merupakan tonggak utama dan barisan hadapan dalam membentuk persepsi serta keyakinan masyarakat. Seluruh warga IPD Kota Kinabalu diseru agar terus bergerak seiring, mengekalkan momentum kecemerlangan dan memperkukuhkan budaya kerja profesional tanpa membandingkan kepimpinan terdahulu.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PERKEP Daerah Kota Kinabalu atas peranan aktif dalam menjaga kebajikan warga PDRM dan keluarga sebagai elemen penting memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam pasukan.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Abdul Fuad Abdul Malek, Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Datuk Ahsmon Bajah, serta ketua-ketua jabatan, formasi, ketua polis daerah, pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam IPD Kota Kinabalu.















Comments