IPD Kota Marudu Terima Lapan Kes Penipuan Penjualan Kereta Tidak Wujud
- nabalunews
- May 26
- 1 min read

26 Mei 2025
KOTA MARUDU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu mengesahkan menerima laporan sebanyak lapan kes yang melibatkan kes penipuan atas talian.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, laporan yang diterima berkenaan berkaitan dengan urusan penjualan kenderaan tidak wujud menerusi platform laman sosial Facebook.
Katanya, jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan mencecah Rm159,028 melibatkan mangsa daripada pelbagai latarbelakang termasuk penjawat awam.
“Hasil Siasatan mendapati suspek meletakkan iklan menjual kenderaan seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Perodua Myvi dengan harga yang terlalu murah bagi menarik perhatian mangsa.
“Mangsa kemudiannya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp atau Facebook Messenger sebelum diarahkan membuat bayaran ke akaun bank atas alasan deposit tempahan, insuran, penghantaran serta cukai.
“Bagaimanapun, sebaik bayaran dibuat, suspek tidak lagi dapat dihubungi dan semua komunikasi terputus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua iklan yang sebelum ini muatnaik di laman sosial berkenaan turut dipadamkan sepenuhnya.
Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa melakukan urusan atas talian.
“Jangan mudah percaya kepada tawaran harga yang terlalu murah dan orang awam juga disaran supaya membuat semakan latarbelakang penjual sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan juga boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan jenayah Komersil IPD Kota Marudu di talian 088-661 066 atau hadir ke balai polis yang berhampiran,” katanya.
コメント