IPD Ranau Siasat Hantaran Facebook Ugut Bakar Kedai Pakistan
nabalunews
1 day ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
18 Oktober 2026
RANAU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook “Berita Harian Ranau” yang mengandungi ugutan untuk membakar semua kedai Pakistan di Ranau, Sabah, dan seluruh Malaysia.
Bilik Gerakan IPD Ranau mengesan kenyataan itu dan sempat mengambil tangkapan layar sebelum hantaran tersebut dipadam. Hantaran berkenaan mendapat perhatian ramai, dengan kira-kira 200 komen serta meletakkan tanda #pdrm, dan didakwa menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kenyataan yang dipetik berbunyi: “BAKAR SEMUA KEDAI PAKISTAN DI RANAU SABAH MAHU PUN DI SELURUH MALAYSIA.”
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, memandang berat dan serius perkara tersebut serta menasihati pengendali dan pengguna aplikasi multimedia supaya tidak menyalahgunakannya sehingga melanggar undang-undang.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat daerah Ranau yang peka dan sentiasa membantu PDRM IPD Ranau demi kesejahteraan masyarakat.
Siasatan lanjut sedang dijalankan.















Comments