Iran hargai pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza
- nabalunews
- Aug 6, 2025
- 1 min read

6 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Iran menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu berkaitan Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu disampaikan oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menerusi perbualan telefon hari ini.
Anwar berkata, Pezeshkian turut menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin.
“Saya tegaskan komitmen kita yang konsisten, bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah dengan menggembleng kerjasama pemimpin serantau dan global termasuk Presiden Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, dalam perbualan itu, beliau dan Pezeshkian turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Iran dan bersepakat untuk memperkukuh persahabatan, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
Dalam pada itu katanya, Presiden Iran itu turut memanjangkan jemputan rasmi kepada beliau untuk mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat.
“Saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.















Comments