Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri ke-9
- Wartawan Nabalu News
- Aug 20, 2021
- 1 min read

20 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, selepas mengadakan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu selama dua jam di Istana Negara hari ini. Katanya lagi, pelantikan itu selepas Yang di-Pertuan Agong menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan. "Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan. "Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada Sabtu, 21 Ogos pukul 2.30 petang di lstana Negara," menurut kenyataan Istana Negara. Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu itu, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik COVID-19. Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini merupakan Timbalan Perdana Menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Comments