Isu hantar anggota bermasalah: Cukup sudah, jangan lagi tambah masalah di Sabah
top of page
  • Farah Salim

Isu hantar anggota bermasalah: Cukup sudah, jangan lagi tambah masalah di Sabah



4 Ogos 2022

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Cadangan memindahkan sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Sabah.


Berdasarkan tinjauan pendapat kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News menyatakan cadangan itu tidak wajar kerana Sabah bukan tempat pembuangan pegawai polis bermasalah.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Pusat, Felix Joseph Saang, berkata rakyat Sabah menuntut penjelasan kenapa anggota polis yang terlibat kes peras ugut di Semenanjung ditukar ke Sabah dan Sarawak.


“Kenapa mereka tidak dipecat atau diberi hukuman setimpal? Kenapa perlu dihantar ke Sabah?


“Sabah bukannya tempat untuk bahan buangan. Ini merupakan satu penindasan dan penghinaan kepada rakyat Sabah,” katanya.


Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis menerusi perkongsian Facebook beliau juga membantah keputusan tersebut.


“Tolong lah Federal. Sabah Sarawak bukannya tong sampah. Sudah lah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah.


“Sampai bila kami mau maju? ‘Stop treating us like this! kata beliau.


Ketua Wanita UPKO Datin Juliana Jani turut membidas tindakan menghantar pegawai polis yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak.


“Mereka sepatutnya berbincang dengan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum membuat keputusan.


“Anggota atau pegawai polis yang terlibat sepatutnya diambil tindakan lebih tegas,” katanya.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.


Beliau, meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.


“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.


Sementara itu Arron Guramon berpendapat, cadangan memindahkan sembilan pegawai polis yang dipercayai terlibat kes itu tidak wajar berlaku.


“Pihak atasan sepatutnya memberikan amaran atau hukuman setimpal dengan perbuatan mereka dan bukan sewenang-wenangnya menukarkan mereka ke Sabah atau Sarawak,” katanya.


Katanya lagi, cadangan itu seolah-olah tidak menghormati Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Malaysia.


Bagi seorang pesara tentera Edward Kabun, Sabah tidak sepatutnya dijadikan ‘tong sampah’ pegawai polis bermasalah.


“Rakyat Sabah perlu bersatu membantah tindakan menghantar mana-mana penjawat awam yang bermasalah, melanggar disiplin dan sedang disiasat atau yang menerima hukuman pindah ke negeri ini.


“Penjawat awam seperti itu sepatutnya dinasihatkan berhenti sahaja … ramai lagi diluar sana yang layak dan ikhlas bekerja,” katanya.


Oliver Dominick menyokong pendapat Edward dan sepatutnya pegawai polis berkenaan dikenakan tindakan termasuk digantung kerja.


"Rakyat Sabah dan Sarawak juga mahu pegawai polis yang bersih, jujur dan amanah bukan pegawai bermasalah.


“Walaupun ini dilihat sebagai hukuman kepada anggota polis berkenaan namun ia bukan penyelesaian terbaik kerana bimbang mereka akan mengulangi kesalahan itu dan mempengaruhi anggota yang lain,” katanya.


Sementara itu para netizen juga meluahkan perasaan tidak puas hati dan membantah keputusan itu.


Seorang netizen beranggapan bahawa keputusan menukarkan pegawai bermasalah ke Sabah dan Sarawak bukanlah jalan penyelsaian terbaik.


“Cara menukarkan seseorang pegawai bermasalah tidak menjamin dia akan berubah. Sepatutnya pegawai tersebut setelah diambil tindakan disiplin maka bimbingan dan kaunseling diberikan.


“Jika dia mengulangi kesalahan seterusnya maka tindakan lebih tegas dikenakan seperti mana dalam peraturan-peraturan dan kelakuan pegawai awam. Antaranya: tahan gaji, turun pangkat, dan tamatkan perkhidmatan,” katanya.


Seorang kakitangan swasta Xaviarana Joe berkata, dia juga tidak bersetuju dengan cadangan memindahkan pegawai polis bermasalah ke Sabah.


“Mereka patut digantung tugas dan sekiranya didapati bersalah ambil tindakan tegas. Kalau orang awam buat kesalahan kecil pun sudah dikenakan tindakan undang-undang, begitu juga dengan penjawat awam yang melakukan kesalahan harus diambil tindakan.


“Apa alasan mereka ditukarkan ke Sabah? Biarkan mereka terus bertugas di tempat asal mereka atau di mana-mana negeri di Semenanjung. Tidak perlu gunakan Sabah sebagai tempat menghukum mereka.


“Sebab mereka terlibat dalam kes peras ugut, kami bimbang mereka akan mengulangi perbutan itu di sini dan mempengaruhi rakan sekerja lain,” katanya.


Oleh itu beliau berpendapat adalah lebih baik anggota polis itu diambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada yang lain bagi membersihkan nama anggota keselamatan itu. Bak kata pepatah “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.


Rakannya yang hanya dikenali sebagai Scully Jane berkata, cadangan memindahkan pegawai polis berkenaan sangat tidak bertanggungjawab.


“Umpama barang buruk dihantar ke Sabah. Perpindahan pegawai polis berkenaan ke Sabah tidak memberi faedah sebaliknya kita risau dia akan mempengaruhi pegawai polis yang lain.


“Hantar sini pun tidak akan mengubah sikap buruk seseorang. Bagi pendapat saya, orang macam ini patut diberhentikan kerja. Ramai lagi yang lebih berintegriti mahu jadi polis.


“Rakyat sabah harus bersatu hati membantah perpindahan pegawai bermasalah ke Sabah. Mereka ada sikap kurang dipercayai. Kita bimbang sekiranya mereka sudah bertugas di sini mereka akan menjadi tali barut kumpulan penjenayah,” katanya.


Dalam laporan media hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Selangor masih belum dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.


Beliau dipetik sebagai berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perhatian terhadap maklum balas daripada kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung perkara itu dan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengkaji semula isu berkaitan perpindahan anggota terbabit.


Pada Selasa lepas, Timbalan Ketua Polis Selango Datuk S Sasikala Dewi dilaporkan berkata, sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemarasan seorang ahli perniagaan di Gombak Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page