- Wartawan Nabalu News
Isu kewarganegaraan kanak-kanak: Cadangan pindaan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja
10 Julai 2023
Oleh Wartawa Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat untuk mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.
Jelas Anwar, pindaan tersebut bertujuan untuk memberi hak seadilnya kepada ibu warganegara Malaysia untuk menentukan kewarganegaraan anak mereka.
"Dalam satu dua hari ni (akan menghadap Majlis Raja-Raja). Undang-undang menyebut hak warganegara hanya kepada bapa, tidak termasuk ibu. Jadi kita nak masuk ibu bapa, kerana dalam Perlembagaan, tak adil hanya letak bapa dan tak masuk ibu. Itu sahaja yang nak dikemukakan," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia (IMLC) 2023 di sini, pada Isnin.
Anwar juga berkata, cadangan pindaan itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan September ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai masalah penduduk tanpa kerakyatan di mana Kementerian Dalam Negeri perlu telah menerima banyak permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, tindakan segera perlu untuk menyelesaikan isu tersebut yang melibatkan beberapa faktor kritikal.
"Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang merupakan warga Malaysia, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi membantu menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kewarganegaraan ini.
"Kita akan bentangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan perkataan 'bapa' (whose father) dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua, dengan perkataan 'sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa'," katanya.
Comments