Isu lampu isyarat Kg.Ramayah, Pusat Khidmat MP Penampang bawa JKR, Pejabat Daerah tinjau lapangan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Isu lampu isyarat Kg.Ramayah, Pusat Khidmat MP Penampang bawa JKR, Pejabat Daerah tinjau lapangan

14 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Masalah ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan Kg.Nambazan-Kg.Maang dan isu lampu isyarat di persimpangan Kg.Ramayah di sini, yang mengelirukan mendapat perhatian Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Selepas menerima aduan penduduk kampung mengenai masalah itu, beliau telah mengarahkan kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Penampang meninjau kawasan itu bagi mengenalpasti seterusnya mencari jalan penyelesaian masalah itu.


Tinjauan itu diketuai oleh Ketua Perhubungan Parlimen Penampang Bryan Matasing, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Billy Joe Dominic dan disertai Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Penampang Ronny Tulus, Penolong Pegawai Daerah Penampang Stanley Sikolis dan JPKK Kg.Ramayah Venatius Bosuin.


Ronny berkata, beliau akan mengemukakan aduan mengenai isu lampu isyarat di persimpangan Kg.Ramayah kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut.


“Sebagai penyelesaian segera, saya akan menyampaikan cadangan penutupan sementara jalan berkenaan sehingga masalah lampu isyarat di kawasan itu dibaiki,” katanya.


Berkenaan ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan Kg.Nambazan - Kg.Maang, beliau berkata, pihak JKR telahpun mengemukakan permohonan untuk pembinaan lampu jalan di kawasan itu sebelum ini.


“Bagaimanapun, ia belum dilaksanakan berikutan ketiadaan peruntukan. JKR akan memberikan salinan permohonan itu kepada Ahli Parlimen Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page