Isu rakyat rentas kaum, agama antara sebab UPKO jadi parti berbilang kaumIsu rakyat rentas kaum, agama antara sebab UPKO jadi parti berbilang kaum
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Isu rakyat rentas kaum, agama antara sebab UPKO jadi parti berbilang kaum


Madius berucap semasa Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021.

27 Nov 2021

Oleh Ilona Andrew


PENAMPANG: Isu-isu yang dihadapi rakyat tanpa mengira bangsa dan agama seperti kemiskinan, pembangunan, masalah elektrik dan air serta masalah capaian internet adalah antara sebab Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memutuskan untuk menjadi parti berbilang kaum.


Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, langkah untuk menjenamakan semula UPKO pada tahun 2018 adalah satu langkah ke depan untuk menerajui perjuangan rakyat jelata tanpa mengira kaum, keturunan dan agama terutama sekali golongan yang tersisih.


“Malah pada hari ini, politik berbilang kaum yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) adalah merupakan satu-satunya harapan rakyat untuk merubah politik Malaysia yang telah dinodai dan dicemari dengan amalan rasuah akibat politik wang, penyalahgunaan kaum dan agama untuk mendapat undi dalam pilihanraya, dan politik yang menghalalkan diskriminasi kaum.

“Kepemimpinan masyarakat Malaysia seharusnya bertuankan rakyat dan bukannya bertuankan kaum tertentu seperti mana yang diperjuangkan oleh sesetengah parti politik, katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya semasa majlis Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021, di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.


Menurut Madius, perjuangan Parti UPKO yang terbina pada hari ini adalah satu langkah ke hadapan yang progresif mengikut peredaran zaman demi menerajui perjuangan rakyat jelata yang berjiwa merdeka, agar rakyat bebas menentukan masa depan mereka sebagai sebuah masyarakat.


Beliau turut memetik beberapa permasalahan semasa yang dihadapi di Sabah seperti masalah air, capaian internet, isu pendatang asing dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ujarnya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjanji untuk menyelesaikan isu-isu tersebut namun semua itu hanya janji semata-mata.


“Kini penyesalan sudah mula kedengaran diakar umbi. Ada yang merasa tertipu, kerana rupa-rupanya janji-janji GRS adalah pembohongan semata-mata.

“Sebab itu pada hari ini, Rakyat Jelata perlu bangkit! Rakyat memerlukan pembelaan! Rakyat memerlukan suara agar pelbagai masalah yang mereka hadapi dapat diketengahkan di pelbagai peringkat untuk diselesaikan secara menyeluruh,” tegasnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page