Jabatan Penjara Malaysia bentang pelan 2/3 populasi penghuni penjara di luar tirai besi menjelang 2030
29 August 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Jabatan Penjara Malaysia membentangkan pelan serta agenda transformasi jabatan iaitu meletakkan 2/3 populasi penghuni penjara berada di luar tirai besi menjelang tahun 2030.
Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau Sirajuddin Abdul Majid berkata, Jabatan Penjara Malaysia telah merangka dasar dan strategi yang komprehensif bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Antaranya adalah memperkenalkan konsep Pusat Pembangunan Peradaban Tamadun Manusia, yang mana nilai utama yang ditekankan adalah nilai Kedaulatan Undang-Undang dan Nilai Kemahiran Kendiri" katanya semasa berucap pada majlis Perasmian dan Penutupan Program Reben Kuning Negeri Sabah 2024 di Sekolah Henry Gurney di sini pada Khamis.
Program selama empat hari itu dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah dan Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut.
Katanya, bagi menjamin keselamatan sosial, Jabatan Penjara Malaysia perlu menyedarkan penghuni penjara terhadap Kedaulatan Undang-Undang dan juga memberikan kemahiran yang bersesuaian sebelum mereka dibawa keluar dari persekitaran tembok penjara atau pusat tahanan.
Beliau berkata susulan daripada strategi ini, Jabatan Penjara Malaysia mengambil pendekatan dengan pelbagai kaedah untuk membantu prospek mengikuti program Reben Kuning sebagai satu inisiatif jabatan untuk memberi peluang kedua kepada prospek dalam kategori belia untuk diberi latihan kemahiran sebelum dibebaskan.
"Jabatan Penjara Malaysia mengharapkan pelbagai agensi yang sudi membantu dalam memberi kemahiran kepada penghuni penjara sekaligus membantu sistem pemulihan kepada mereka agar mempunyai kemahiran apabila dibebaskan nanti" katanya.
Pada masa sama Sirajuddin berkata, Jabatan Penjara merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah dan IKBN Kinarut atas kesudian melaksanakan Projek Reben Kuning Negeri Sabah 2024 di Sekolah Henry Gurney.
Katanya ini membantu memberikan kemahiran kepada penghuni penjara atau pusat tahanan dari golongan belia sebagai bekalan sebelum dibebaskan.
Seramai 30 peserta mengikuti program itu terdiri daripada banduan belia dan penghuni Sekolah Henry Gurney.
Mereka didedahkan dengan Kursus Asas Penyelanggaraan Penyaman Udara dan Pendawaian Elektrik.
Comments