top of page

Jadikan bidang pertanian sebagai pilihan kerjaya – Jamawi

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

6 Februari 2026


TENOM: Graduan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom diseru agar menjadikan bidang pertanian sebagai pilihan kerjaya bagi memastikan sektor itu terus berkembang maju di negeri ini.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, para graduan perlu berani menjadi perintis dan agropreneur muda dengan memanfaatkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh latihan.


“Sekiranya terdapat tanah yang belum diusahakan di kampung halaman, kuatkan tekad dan semangat untuk menjadi perintis dalam bidang pertanian. Jangan malu menjadi petani,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-42 Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom di Dewan Serbaguna KPD-OISCA, di sini, hari ini.


Menurutnya, program latihan yang ditawarkan pusat berkenaan selaras dengan hala tuju kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya bidang pertanian, sekali gus menyokong usaha menjamin keterjaminan dan keselamatan makanan negara.


Selain mengikuti kurikulum yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, pusat latihan itu turut menerapkan budaya latihan dari OISCA Jepun yang menekankan kemapanan pengurusan pertanian, perhutanan serta konservasi alam sekitar.


Sejak penubuhannya, pusat berkenaan mengamalkan prinsip ‘self-reliance’ dan ‘self-sufficient’ melalui pengeluaran beras, sayur-sayuran dan ternakan sendiri, selaras dengan konsep Inisiatif Kebun Dapur yang diperkenalkan Kerajaan Negeri,


“Menerusi inisiatif ini, masyarakat boleh menikmati penjimatan kos pembelian bahan makanan asas seperti daging ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan, selain berpeluang menjana pendapatan melalui jualan lebihan hasil pertanian.


“Selain itu, nilai hidup sihat melalui pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan yang bernutrisi juga dapat diterapkan dalam komuniti,” ujarnya.


Sementara itu, katanya, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama OISCA International Japan, bagi menghantar pelajar cemerlang ke Jepun untuk menjalani latihan selama satu hingga tiga tahun.


Beliau berkata konsep serta sistem pertanian moden yang dipelajari di negara itu diharap dapat diaplikasikan semula di Sabah bagi memperkukuh pembangunan sektor pertanian negeri.


Turut hadir Pembantu Menteri I Datuk Ruslan Muharam; Pengerusi Lembaga Pengarah KPD Datuk Yussof Abdul Manan; Pengurus Besar KPD Jailis Masarip; Konsul Jeneral Jepun Yamashita Yoshito; dan Penolong Pegawai Daerah Tenom Marcellus Joannes yang mewakili Pegawai Daerah Tenom.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page