Jadikan Inggeris bahasa rasmi kedua Sabah, desak tubuhkan IGC - Ewon, Jin Zhe
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jadikan Inggeris bahasa rasmi kedua Sabah, desak tubuhkan IGC - Ewon, Jin Zhe


Ewon (kiri) dan Jin Zhe

8 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Sabah mengemukakan usul menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Sabah dan mendesak penubuhan semula Inter-Government Committee (IGC) Perjanjian Malaysia pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Julai ini.


Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe dalam kenyataan bersama menyatakan, dua usul itu telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.


“Usul pertama ialah bagi Dewan Undangan Negeri Sabah membuat ketetapan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sabah.


“Kami percaya usul ini penting bukan hanya kerana berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Inter-Governmental Committee (IGC) 1962, tetapi agar menjadikan rakyat Sabah boleh bersaing dengan lebih progresif melalui penguasaan bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Adun PH Sabah itu berkata, usul kedua ialah mendesak pewujudan semula Inter-Governmental Committee (IGC) untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia seperti yang sepatutnya, iaitu bagi setiap sepuluh tahun dan mendesak pelaksanaan-pelaksanaan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah sepertimana dinyatakan dalam IGC Report 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963.


“Kami percaya ketetapan ini perlu dibuat oleh Dewan Undangan Negeri bagi mempertahankan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah sepertimana dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.


“Perkara ini juga merupakan isu utama rakyat Sabah susulan pelbagai pandangan mengenai isu-isu terkait Perjanjian Malaysia 1963 termasuk adanya syor mahu mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu.


“Kami berpendirian tegas bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu, sebaliknya Perjanjian Malaysia 1963 tersebut perlu dilaksanakan dan hak-hak Sabah perlu ditunaikan.


“Selaku Wakil Rakyat yang dipilih juga, kami tidak teragak-agak mewakili rakyat mengambil tindakan undang-undang seterusnya berkaitan dengan hak-hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan sepertimana tindakan kami memfailkan saman pemula berkaitan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, iaitu untuk menuntut pelaksanaan pembayaran semula 40% hasil persekutuan di Sabah,” katanya.


Selain itu mereka juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat membentangkan program penyelesaian bagi menangani kesan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat pada sidang DUN tersebut.


“Sehingga hari ini, kita belum mendengar sebarang program khusus daripada Kerajaan Negeri bagaimana membantu rakyat Sabah yang terkesan dengan kenaikan harga barang,” katanya.


Adun PH Sabah itu menyatakan bahawa, Kerajaan Negeri perlu memberi penjelasan mengapa harga barangan termasuk makanan, bahan binaan dan bahan pertanian naik mendadak.


Mereka juga turut mempersoalkan bekalan barangan keperluan harian seperti minyak masak sukar diperolehi di kedai walaupun Sabah mengeluarkan bahan makan ini.


“Mengapa harga sayur di ladang tidak dapat dinaikkan sedangkan kos bahan pertanian telah meningkat dengan mendadak? Ini antara persoalan-persoalan rakyat yang perlu dijelaskan oleh Kerajaan,” katanya.


Banyak lagi persoalan lain terkait ini yang pastinya akan diangkat oleh Wakil- Wakil Rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri tersebut.


Ini termasuklah pelaksanaan gaji minimum, kadar inflasi yang semakin meningkat, bantuan tunai yang diberikan kerajaan tetapi pada masa yang sama turut diumumkan cadangan kenaikan tarif utiliti dan caj perkhidmatan agensi kerajaan.


Ewon dan Phoong berkata sebelum ini, mereka telah mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah mencakupi keanggotaan pelbagai blok parti di DUN serta sektor awam, korporat dan badan bukan kerajaan, bagaimanapun Kerajaan Negeri tidak melaksanakan cadangan tersebut.


“Justeru, selaku Wakil Rakyat yang dipilih, kami akan menggunakan platform sidang Dewan Undangan Negeri bagi menyampaikan keluhan-keluhan rakyat, pandangan dan cadangan agar cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat dapat ditangani bersama.


“Kami berharap agar kerajaan dapat melanjutkan sidang Dewan tersebut sekurang-kurangnya sehari sepenuh khas bagi merumus penyelesaian dan bantuan rakyat yang terkesan akibat kenaikan mendadak harga barang,” kata Adun PH Sabah itu.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page