JAFRY SEDIA BANGUNKAN SEMULA INDUSTRI PELANCONGAN SABAHJAFRY SEDIA BANGUNKAN SEMULA INDUSTRI PELANCONGAN SABAH
top of page
  • nabalunews

JAFRY SEDIA BANGUNKAN SEMULA INDUSTRI PELANCONGAN SABAH


16 OKTOBER 2020


KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan berusaha melonjakkan semula industri pelancongan di Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.


Jika dilihat dalam dua bulan pertama tahun ini (Januari-Februari), industri pelancongan Sabah kerugian sekurang kurangnya RM320 juta akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan bersedia untuk kerjasama dengan negara luar termasuk pelabur asing demi membangunkan kembali industri pelancongan di negeri ini.


Ini bagi memastikan industri pelancongan negeri berada dalam keadaan siap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.


Untuk itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha pelancongan sebaik sahaja PKPB ini berakhir.


“Saya mahu mendengar sendiri keluhan mereka sebab mereka ini antara golongan paling terjejas akibat pandemik ini. Kita juga akan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka dalam melalui fasa pemulihan pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Jafry berkata, kementerian akan mengikuti garis panduan memulakan semula pelancongan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Banga-Bangsa Bersatu (UNWTO).


Beliau berkata, melalui garis panduan itu, aplikasi sistem teknologi baru akan digunakan untuk menghubungkan data kesihatan pelancong.


Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama pelancong untuk memberikan data kesihatan selain memberi keyakinan kepada mereka berhubung keselamatan data peribadi.


Dalam pada itu, keselesaan pelancong juga diutamakan dengan memastikan mereka selesa dengan infrastruktur pelancongan pasca-Covid-19 yang baru.


“Untuk perancangan jangka pendek, kita akan menaiktaraf kemudahan infrastruktur pelancongan sedia yang bukan saja memberi keselesaan kepada pelancong tetapi yang penting adalah mengikut prosedur operasi standard yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.


Menurutnya, pelancongan pasca Covid-19 ini akan menampakkan perubahan, iaitu industri yang bakal memanfaatkan teknologi baru, melancarkan era internasionalisme baru dengan menjalin kerjasama antara negara luar.


“Ini adalah gambaran sebenar sektor pelancongan pada masa depan dengan norma baharu. Apa yang penting adalah kejayaan kita dalam menangani krisis ini bergantung kepada kerjasama seluruh negara.


“Ini akan menjadi pengukur kepada keupayaan kita dalam menghadapi segala kemungkinan pada masa depan sekiranya berlaku pandemik sebegini,” jelasnya. - Borneo Today

bottom of page