Jalan rosak, berlubang antara punca kemalangan Telupid-SandakanJalan rosak, berlubang antara punca kemalangan Telupid-Sandakan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jalan rosak, berlubang antara punca kemalangan Telupid-Sandakan



15 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Keadaan fizikal jalan yang tidak sempurna termasuk jalan berlubang dan rosak di sepanjang jalan Telupid-Sandakan antara punca kemalangan jalan raya di kawasan itu.


Sehubungan itu pengguna jalan berkenaan menggesa pihak kerajaan supaya mempercepatkan pembaikan kerosakan jalan itu yang menjadi laluan utama pengguna dari Kota Kinabalu, Ranau, Telupid ke Sandakan.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, pengguna jalan terutamanya penduduk sekitar Telupid dan Beluran kecewa kerana sebelum ini mereka dihujani janji-janji manis oleh para pemimpin GRS.


“Mereka kecewa sebab diberikan harapan tinggi oleh para pemimpin GRS bahawa Sabah akan maju pesat membangun apabila sehaluan dengan Kerajaan BN dan PN.


“Malangnya, apa yang berlaku sehingga hari ini adalah sebaliknya. Selain isu jalan raya, masalah air dan internet juga amat membebankan rakyat.


“Sebagai pimpinan blok pembangkang, kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyuarakan denyutan nadi rakyat, apatah lagi jika perkara-perkara yang dibangkitkan sering berlaku didepan mata,” katanya.


Felix yang juga antara pengguna jalan raya berkenaan berkata: “Saya sering menggunakan jalan yang hangat tular di media sosial”.


“Mingggu lalu saya ke Pekan Beluran dari Telupid dan ternyata jalan raya yang dimaksudkan semakin kritikal. Bukan sahaja merosakkan kenderaan malah boleh mengundang kemalangan,” katanya.


Beliau berkata, peliknya, setelah menjadi pemerintah, Wakil Rakyat GRS hari ini perlu pula merayu untuk menuntut pembangunan asas rakyat Sabah yang sepatutnya menjadi hak rakyat Sabah.


"Ternyata, kenyataan Sabah akan maju pesat membangun apabila sehaluan adalah helah kepada rakyat Sabah semata-mata," katanya.


Sementara itu Echel John, penduduk Beluran berkata, kerosakan jalan di kawasan itu bukan perkara baharu tetapi sudah lama berlaku.


“Memang lama sudah, kalaulah betul ada pemimpin yang prihatin, patut isu jalan ini tidak timbul. Tidak kiralah jalan raya ini di bawah seliaan kerajaan persekutuan atau negeri, kerosakan jalan itu mesti diselenggara.


“Kita kini dalam tahun 2021 tetapi keadaan jalan raya di Sabah tiada perubahan yang ketara. Lepas viral baru kena tampal … tapi sampai bila main tampal-tampal saja,” katanya.


Sumber: FB Sabah Info

Seorang lagi pengguna jalan berkenaan berkata, sebelum kejadian beberapa buah kereta tersadai di kawasan itu akibat tayar kereta pecah dan rim rosak yang tular di media sosial baru-baru ini, dia sendiri mengalami kejadian yang sama pada Oktober lalu.


“Oleh kerana ada urusan penting di Kota Kinabalu, saya memulakan perjalanan jam 3 pagi dari Sandakan. Dalam keadaan yang gelap dan hujan, saya tidak nampak lubang di jalan raya kerana ia dipenuhi air.


“Malang tidak berbau, saya terlanggar lubang besar di jalan raya dan tayar kereta saya pecah. Syukur kami tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.


Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan segera terhasap setiap kerosakan di jalan Telupid – Sandakan untuk mengelak kemalangan jiwa berlaku.


Baru-baru ini tular di media sosial lebih 10 kenderaan tersadai di jalan Telupid-Sandakan akibat rim bengkok selain tayar pecah dan meletup gara-gara terlanggar lubang yang dalam dipenuhi air hujan di laluan berkenaan.


Sumber: FB Sabah Info


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page