top of page

Jalan rosak di Lorong 3, Kg Sri Bombalai laut dibaiki

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 24, 2024
  • 1 min read
Lim (kiri) ketika membuat tinjauan kerja-kerja penimbusan batu di Lorong 3, Kampung Sri Bombalai Laut yang sebelum ini berlubang dan berlumpur jika hujan. 

24 Ogos 2024 

Oleh Wartawan Nabalu News


KALABAKAN: Lebih 20 keluarga di Lorong 3, Kampung Sri Bombalai Laut, di sini, menarik nafas lega apabila jalan masuk ke kediaman mereka yang rosak, akhirnya dibaiki pihak konsesi jalan raya.


Naib Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah merangkap Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Lim Yin Kat berkata, pihaknya melawat kawasan tersebut selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai keadaan jalan rosak itu.


"Kita mendapati dakwaan penduduk adalah benar apabila melihat keadaan jalan yang berlubang dan berlumpur jika hujan.


"Situasi ini membawa risiko keselamatan kepada penduduk, khususnya penunggang motosikal," katanya ketika meninjau kerja menimbus batu di lokasi, hari ini yang turut disertai Ahli Majlis MPT, Sammie Liew Sam Yi.


Lim berkata, pihaknya membawa perkara itu kepada MPT dan akhirnya kerja-kerja penimbusan tanah dilakukan oleh pihak konsesi yang dilantik.


"Hari ini, kita menyaksikan kerja buang batu sedang dilakukan oleh konsesi membabitkan laluan sepanjang 130 meter dari jalan utama ke kawasan penempatan penduduk.


"Selepas ini, kerja-kerja pemampatan akan dilakukan bagi memastikan jalan yang sudah ditimbus berada dalam keadaan lebih stabil," katanya lagi.


Sementara itu, wakil penduduk, Trisno Pehang, 69, mendakwa, isu kerosakan jalan tersebut sudah diadukan kepada beberapa pihak, termasuk wakil rakyat tetapi keadaan jalan masuk ke kampung masih sama dan semakin rosak.


"Ada juga pihak yang datang tapi hanya ambil gambar dan kemudian senyap," dakwanya.


Menurutnya, mereka kemudiannya mengadukan perkara itu kepada Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan amat bersyukur kerana tindakan segera diambil untuk membantu penduduk.


"Kami berterima kasih kepada Datuk (Lim) dan seluruh Harapan Rakyat kerana membantu mengatasi masalah yang penduduk hadapi sejak sekian lama," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page