Jangan biar kepentingan parti lebih besar daripada peranan sebenar DUN - Ben ChongJangan biar kepentingan parti lebih besar daripada peranan sebenar DUN - Ben Chong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jangan biar kepentingan parti lebih besar daripada peranan sebenar DUN - Ben Chong


7 December 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong berkata kepentingan dan peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah harus lebih besar daripada kepentingan parti yang berkuasa.


“Jangan hanya kerana ada kepentingan parti yang berkuasa dengan Malaya maka apa yang sepatutnya dilakukan oleh DUN Sabah, tidak diangkat. Kepentingan Sabah melebihi daripada segalanya.


“Saya rayu kepada Datuk Speaker dan timbalan-timbalan speaker agar dapat memperkasakan kuasa yang ada pada DUN Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sesungguhnya kuasa yang ada pada DUN Sabah lebih besar daripada Parlimen,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Adun Warisan itu berkata, Rakyat Sabah semakin marah dan muak dengan pelbagai alasan kerajaan persekutuan untuk tidak mengembalikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63.


“Sewajarnya, DUN Sabah berpegang kepada MA63 agar martabat anak Sabah tidak diperlekehkan. Sebagai contoh, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya masih belum boleh diadakan sedangkan tempoh Darurat sudah berakhir pada 1 Ogos lepas.


“Datuk Speaker sendiri memperakui bahawa PRK ini mesti diadakan kerana (ADUN) Bugaya meninggal sebelum tempoh tiga tahun seperti yang diperuntukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


“Bagi saya, adalah menjadi tanggungjawap Datuk speaker untuk memperingatkan SPR berkenaan PRK ini,” katanya.


Tambahnya, laungan Kerajaan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga kini Sabah masih kelihatan seperti anak angkat sehinggakan PRK DUN Bugaya seolah-olah enggan diadakan.


Ben Chong turut mengesa Kerajaan negeri agar memberi lebih tumpuan untuk pembangunan industri hiliran agar taraf kehidupan penduduk di pedalaman dapat dipertingkatkan terutama di lapan daerah termiskin iaitu Pitas, Kudat, Kota Belud, Beluran, Tongod, Nabawan, Telupid dan Kota Marudu.


“Sebagai anak jati Kudat, saya malu kerana daerah ini amat sukar keluar dari gelaran antara daerah termiskin di Malaysia sejak 10 tahun lepas.


“Kami di Kudat berasa amat sedih kerana hanya mendapat peruntukan menaiktaraf Bangunan Pejabat Lembaga Bandaran Kudat sahaja sedangkan begitu banyak infrastruktur di kampung-kampung perlu perhatian daripada pihak kerajaan,” katanya.


Beliau juga berharap agar kerajaan Negeri dapat melihat keperitan yang dihadapi rakyat Sabah kesan dari pendemik Covid-19.


“Ramai peniaga gulung tikar, jumlah pengangguran juga meningkat secara mendadak ditambah pula dengan kos sara hidup yang meningkat kepada hampir 37 peratus ekoran kenaikan harga barang.


“Saya tidak nampak impak besar bajet ini dapat memulihkan kesejahteraan rakyat Sabah jika harga barang terus meningkat tanpa dapat dikawal oleh kerajaan,” katanya.


Katanya lagi, kerajaan negeri harus merangka strategi khusus untuk membantu mereka yang kehilangan sumber pendapatan seperti nelayan dan petani termasuk peniaga kecil-kecilan yang tidak mampu meneruskan perniagaan mereka.

bottom of page