JANGAN JADIKAN USIA MUDA ALASAN NAFIKAN PANDELELA DIANUGERAHKAN 'DATUK': DR. RAMZAH
top of page
  • nabalunews

JANGAN JADIKAN USIA MUDA ALASAN NAFIKAN PANDELELA DIANUGERAHKAN 'DATUK': DR. RAMZAH


Gambar FB Rem Dambul

12 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Prof Madya Dr.Ramzah Dambul berpendapat faktor usia bukan alasan menafikan Ratu Terjun Negara Pandelela Rinong dianugerahkan darjah kebesaran gelaran 'Datuk'. Sambil mengambil contoh Jaguh skuash negara Nicole David yang dikurniakan gelaran 'Datuk' pada usia 24 tahun, beliau berkata, Pandelela anak jati Sarawak yang kini berusia 28 tahun "tidaklah terlalu muda untuk dikurniakan Datuk".


Dr. Ramzah

Dari segi pencapaian, Ramzah berkata, dalam usia 28 tahun, Pandelela telah meraih banyak kejayaan di persada dunia antaranya memenangi pingat perak dan gangsa dalam Sukan Olimpik, enam pingat kejohanan dunia iaitu satu emas, satu perak dan empat gangsa. Pandelela juga meraih enam pingat iaitu dua emas, dua perak, dua gangsa dalam temasya Sukan Komonwel dan sembilan pingat dalam Sukan SEA iaitu lapan emas dan satu perak. "Perlu juga diinsafi, acara terjun ini sangat rumit berbanding sukan lain. Ia kombinasi fizikal, teknikal dan artistik. Jadi, ia menuntut latihan super lasak dan konsisten, dengan kemudahan dan fasiliti serba canggih. "Itulah sebab China boleh menakluk sukan ini. Sebab mereka melabur tinggi untuk mempersiapkan ribuan bakat penerjun, seawal usia lima tahun. "Malangnya, Malaysia belum ada ekosistem seagung begini bagi sukan terjun. Sebab ia bukan seperti acara-acara sukan perdana yang lain termasuk badminton, olahraga, bolasepak dan hoki," katanya dalam perkongsian media sosial Facebooknya.

Ramzah berkata, atlet terjun terpaksa bekerja keras berlipat kali ganda untuk mengimbangi kekurangan itu, agar mampu bersaing di pentas dunia. "Pandelela mula mewakili Sarawak ketika umur 7 tahun, dan mewakili negara ketika 14 tahun. Maksudnya, dia dalam sukan ini selama 21 tahun, termasuk 14 tahun di persada antarabangsa. "Dengan regim dan disiplin latihan yang super rigid dalam sukan terjun, bayangkan pengorbanan yang dicurahkannya. How many Christmas, Mother’s Day, Gawai and other familia celebrations Pandelela has missed? "Menyambut perayaan sendirian tanpa keluarga di sisi, dalam usia begitu muda — ini hanya setitik kecil contoh-contoh cabaran jiwa dan mental. Ada bermacam lagi tusukan emosi yang perlu diharungi," katanya.

Sehubungan itu katanya, adalah wajar gelaran Datuk diberikan kepada Pandelela sebagai pengiktirafan bakat-bakat muda dan memberikan inspirasi kepada golongan muda. "Berikan pengiktirafan kepada bintang atlet kita ketika mereka masih dikemuncak kejayaan supaya atlet muda yang lain turut terinspirasi. "Jangan tunggu sampai mereka sudah bersara, baru bagi pengiktirafan. Sebab ia tidak menguja minat bakat-bakat baru untuk meneroka bidang sukan secara serius," katanya.


Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan gelaran ‘Datuk’ belum sesuai diberi kepada ratu terjun negara itu buat masa ini.


Abdul Karim dipetik sebagai berkata, Pandelela masih terlalu muda dan gelaran berkenaan akan menyukarkannya untuk berinteraksi bersama rakannya secara normal di luar.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page