Jangan malu bercakap bahasa Kadazan - MayaJangan malu bercakap bahasa Kadazan - Maya
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Jangan malu bercakap bahasa Kadazan - Maya


Kredit foto: Instagram Maya

29 November 2021

Oleh Marryan Razan


“Atagak nopo boos nga atagak noh kointutunan om tinaru tokou (Hilang Bahasa, lenyaplah identiti dan bangsa kita).


“Sebab itu, jangan malu bercakap dalam bahasa ibunda sendiri. Kita seharusnya bangga dilahirkan sebagai masyarakat Kadazan,” kata Maya Hejnowska, pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021.


Gadis manis berusia 21 tahun itu berkata, amat menyedihkan apabila melihat ramai generasi muda masyarakat Kadazandusun masa kini tidak lagi fasih atau langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda sendiri.


“Mungkin ada diantara mereka yang memang faham dan tahu sikit-sikit bahasa Kadazan atau Dusun tetapi mereka malu bercakap sebab takut salah.


“Sebenarnya belajar sesuatu bahasa amat mudah terutamanya bahasa ibunda sebab kita dikelilingi keluarga yang memang fasih bertutur dalam bahasa itu, cuba belajar satu ayat atau satu perkataan setiap hari, kalau salah boleh diperbetulkan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, belajar sikit-sikit lama-lama pandai,” katanya ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.


Gadis kacukan Kadazan-Polish itu berkata, pada peringkat awal penyertaannya dalam pertandingan Unduk Ngadau peringkat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tahun ini, ramai orang mempersoalkan sama ada dia pandai bertutur dalam Bahasa Kadazandusun atau sebaliknya.


“Mungkin mereka nampak muka saya ‘orang putih’ jadi banyak komen di media sosial saya tidak pandai Kadazan, sehinggalah saya post video-video pendek di Tiktok saya bercakap dalam bahasa Kadazan.


“Sejak kecil kami adik beradik, memang bertutur dalam bahasa Kadazan sebab bahasa pengantara kami di rumah ialah Kadazan. Saya dan mami saya bercakap dalam Kadazan walaupun kami berdua fasih berbahasa Inggeris,” katanya yang bukan sahaja fasih Kadazan tetapi juga Inggeris, Melayu serta sedikit Bahasa Mandarin.


Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, dia juga boleh menulis dalam Bahasa Kadazan dan puisi pertama yang ditulisnya ialah puisi untuk ibunya semasa program Unduk Ngadau.


Kredit foto: Instagram Maya

Mengenai penyertaanya dalam pertandingan Unduk Ngadau (UN) tahun ini Maya berkata, setiap tahun sejak berusia 18 tahun ramai kawan-kawan dan juga saudara mara memberi galakan supaya mengikuti UN.


“Tetapi saya tidak berminat, sehinggalah tahun ini saya menyahut cabaran mereka tanpa niat untuk menang. Saya hanya ikut pertandingan ini sekadar suka-suka dan tidak pernah terfikir untuk menang.


“Sebab itu selepas dinobatkan sebagai UNK saya sedikit ‘culture shock’. Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat mengatasi cabaran-cabaran itu,” katanya.


Kredit foto: Instagram Maya

Maya yang berperwatakan lemah lembut dan bersopan santun mengakui penyertaanya dalam pertandingan itu banyak mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan.


Katanya, ibunya adalah guru terbaik dan sentiasa memberi tunjuk ajar serta sokongan.


“Mami saya seorang wanita hebat dan tabah, dia sentiasa berada disamping saya sepanjang program Unduk Ngadau dan sentiasa memberi tunjuk ajar terutamanya ketika berhadapan dengan wartawan sebab dia juga seorang wartawan,” katanya.


Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Muzik itu berkata, banyak pengalaman berharga diperolehinya melalui pertandingan UN.



“Saya dapat meningkatkan keyakinan diri, cara berkomunikasi dikhalayak ramai dan mencungkil bakat terpendam dalam bidang pengacaraan.


“Saya tidak tahu boleh menjadi juruacara majlis sebab selama ini saya tidak pernah menjadi pengacara majlis tetapi apabila diminta jadi emcee, saya cuba yang terbaik kerana ia adalah antara tanggungjawab saya,” katanya merendah diri.


Mengenai kecantikan, Maya berkata kecantikan bukan sekadar dilihat melalui luaran tetapi kecantikan seseorang terpancar dari keperibadian yang baik


“Wajah yang cantik kelihatan tidak menarik sekiranya sifat atau perwatakan seseorang itu tidak secantik wajahnya.


“Sebelum menyertai Unduk Ngadau, saya fikir pemilihan pemenang hanya berdasarkan kecantikan luaran tetapi apabila saya menyertainya, baru saya faham bahawa penilaian bukan setakat melihat paras wajah yang cantik dan menarik tetapi juga keperibadian dan bagaimana kita membawa diri,” katanya.


Ditanya mengenai program kebajikan dan kemasyarakatan, Maya berkata, sejak dibangku sekolah lagi dia aktif menyertai pelbagai kumpulan termasuk badan bukan kerajaan, gereja dan sekolah untuk program-program kebajikan.


Kredit foto: Instagram Maya

“Antara program kebajikan yang saya sertai tahun ini ialah penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Sugud, Kimanis dan Papar,” katanya dan menambah, program terbaru ialah pameran MATTA (Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) 2021, di Kuala Lumpur.


Maya yang juga terlibat sebagai antara pelakon utama dalam video klip lagu “Tiga Kali Satu Hari” terbitan KupiKupifm pada Mei lalu berjaya meraih tontonan sebanyak 1.3 juta, bagaimanapun berkata dia tidak minat dalam bidang lakonan.


Kredit foto: Instagram Maya

“Perancangan pada masa akan datang, saya berhasrat untuk rakaman lagu dalam Bahasa Inggeris atau Kadazan,” katanya yang telah mencipta beberapa buah lagu Inggeris.

bottom of page