top of page
nabalunews

Jangan pertikai keputusan demokrasi - Junsim

21 Disember 2024


KUDAT: Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat, Junsim Rumunzing, menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah pada 1 Disember lalu dalam Mesyuarat Agung (AGM) PH Sabah yang berlangsung secara demokratik.


Junsim menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mempertikaikan pelantikan tersebut.


Menurutnya, keputusan itu dicapai melalui persetujuan sebulat suara dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam proses pemilihan.


"Sebarang usaha untuk meragui keputusan ini hanyalah cubaan untuk memecah belahkan perpaduan dalam PH Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya.


Menurut Junsim lagi, keputusan pemilihan ini turut mendapat sokongan daripada pemimpin lain dalam PH Sabah, termasuk Datuk Christina Liew sendiri yang dilaporkan menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Ewon sejurus keputusan pemilihan diumumkan.


Junsim berkata dalam mesyuarat tersebut, ketua-ketua komponen PH Sabah yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan UPKO turut menunjukkan kesatuan dan semangat kerjasama.


"Semua proses dijalankan secara telus dan demokratik, sekali gus membuktikan ketelusan dalam kepimpinan gabungan ini," katanya.


Dalam kenyataan yang sama, Junsim menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerja rapat dengan barisan kepimpinan baharu untuk memastikan PH Sabah bersedia menghadapi PRN akan datang.


"Fokus utama ialah memperkukuh kekuatan akar umbi serta memperluaskan pengaruh politik di kawasan-kawasan strategik," katanya.


Junsim juga menyeru semua ahli dan penyokong PH untuk menolak khabar angin yang boleh menjejaskan perpaduan gabungan tersebut.


"Kita tidak boleh membiarkan isu remeh mengganggu fokus kita. Ini masa untuk bekerja lebih keras demi kemenangan pada PRN akan datang," tambahnya.


Junsim yakin dengan sokongan padu daripada semua parti komponen, PH Sabah akan dapat menawarkan alternatif yang kukuh kepada rakyat Sabah.


"Pemilihan Ewon sebagai pengerusi PH Sabah yang baharu adalah langkah tepat untuk memperkukuhkan kepimpinan dan memperkuatkan jentera pilihan raya PH Sabah," katanya.

Comentários


bottom of page