top of page

JANGAN TERPEDAYA UBAT KONONNYA MAMPU SEMBUHKAN COVID-19 - DR NOOR HISHAM

  • nabalunews
  • Oct 22, 2020
  • 1 min read

22 OKTOBER 2020


PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan COVID-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan COVID-19.


Katanya sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan COVID-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.


“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (COVID-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan kononnya mampu menyembuhkan COVID-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.


Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual dengan harga RM12. 


Isnin lepas, Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit COVID-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu. 


Menurutnya, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti-malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu. 


Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit COVID-19. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page