JANGKITAN COVID-19 DI INDONESIA LEPASI ANGKA SEJUTA
26 JAN 2021
JAKARTA: Jangkitan COVID-19 di Indonesia hari ini melepasi angka satu juta kes, ketika proses vaksinasi virus itu sedang dilaksanakan di seluruh republik berpenduduk hampir 290 juta orang itu. Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, republik itu merekodkan 13,094 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 1,012,350 kes. Bagaimanapun 820,356 pesakit yang dijangkiti virus itu dinyatakan telah sembuh.
Sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac 2020, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 28,468 orang, dengan tambahan 336 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas. Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini mengarahkan proses vaksinasi yang bermula 13 Januari lepas, dengan menyasarkan lebih 182 juta penduduk di republik itu, diselesaikan sebelum berakhir tahun ini. Vaksinasi itu tidak diberikan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah, dan 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai risiko kesihatan seperti ibu mengandung, dan mereka yang berpenyakit kritikal seperti sakit jantung dan sebagainya.
Pada 6 Disember 2020, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China, sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Dis lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima pada 12 Januari lepas. Selain vaksin Sinovac dari China, pemerintah Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer, dan Novovax. - Bernama
Comments