top of page

JANGKITAN DALAM KALANGAN PEKERJA CETUS DUA KLUSTER BAHARU DI SABAH

Wartawan Nabalu News


5 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini dikenali sebagai Kluster Jalan Kayu Madang dan Kluster Lorong Berjaya melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan pekerja.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kayu Madang - Kota Kinabalu, Tuaran melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan pekerja di C&F Enterprise Sdn Bhd, KKIP Selatan.


Beliau berkata, kluster ini dikesan apabila kes indeks, wanita, 31, Pegawai Kawalan Kualiti di syarikat tersebut disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun lalu, selepas bergejala demam dan hilang deria rasa sejak 27 Jun 2021.


“Kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.


“Sebanyak 177 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil. Daripada jumlah itu, 11 kes termasuk lima kes baharu didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala tujuh kes lagi di Tuaran menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini adalah 18 kes.


“Sementara itu, 145 sampel negatif dan 22 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan. Pengesanan secara aktif sedang giat dijalankan oleh pasukan kesihatan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Lorong Berjaya - Kota Kinabalu juga melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di premis perniagaan serta kuarters Jetsin Sdn Bhd Bandaran Berjaya.


Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini merupakan lelaki, 25, petugas khidmat pelanggan yang bergejala sejak 29 Jun lalu sebelum dikesan positif dalam ujian saringan Covid-19 di Permai Poliklinik Bandaran pada 30 Jun 2021.


“Setakat 05 Julai (hari ini) sebanyak 104 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil.


“Daripada jumlah tersebut, lapan kes dikesan positif termasuk satu kes baharu yang direkod pada hari ini, sementara 14 sampel didapati negatif dan 82 sampel sedang

menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.


Katanya lagi, aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca jangkitan masih dijalankan.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page