Jangkitan sporadik Covid-19 kekal tinggi di Sabah: Masidi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jangkitan sporadik Covid-19 kekal tinggi di Sabah: Masidi



7 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah meneruskan trend penurunan dengan mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 1,235 kes, menurun 280 kes berbanding semalam.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, lima kes kematian dilaporkan hari ini iaitu dua kes di Ranau dan masing-masing satu di Keningau, Kalabakan dan Kuala Penyu.


Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, sebanyak 1,221 atau 98.87 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima kes dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5.


“Sebanyak 21 daerah mencatatkan penurunan jumlah kes harian dengan lima daripadanya menunjukkan penurunan agak banyak iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Kota Marudu, Kota Belud dan Tawau.


“Bagaimanapun beberapa daerah terus merekodkan bilangan kes-kes baharu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya termasuk Papar yang mencatat 141 kes baharu pertambahan 54 kes berbanding kelmarin.


“Papar juga menjadi penyumbang kes kedua tertinggi selepas Kota Kinabalu dan 72.3 peratus daripada kes-kes tersebut adalah melalui jangkitan sporadik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, peratusan kes-kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 65.02 peratus daripada keseluruhan kes-kes baharu di Sabah hari ini.


“Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas apabila 22 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan kes simptomatik (bergejala) sebagai kategori tertinggi kes-kes baharu di daerah berkenaan.


“Jangkitan sporadik mudah berlaku dan merebak dengan cepat. Atas faktor inilah maka perlunya semua golongan masyarakat mematuhi semua SOP secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page