top of page

Jannie sifatkan tindakan Cyril bertanding bebas sebagai terdesak

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read


14 Mei 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang, menyifatkan tindakan bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan itu, Cyril Liew, bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai satu tindakan terdesak.


Jannie berkata, beliau kesal dengan keputusan Cyril yang turut meletak jawatan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang telah diberikan.


“Saya kesal dengan keputusan Cyril untuk keluar daripada DAP. Sebagai PPM bagi N25 Kapayan, saya telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk membantu dalam pelbagai tugasan demi memastikan projek dan aduan rakyat Kapayan diuruskan dengan baik.


“Saya tidak menyangka beliau akan berpaling tadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu Jannie berkata, DAP Sabah telah mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Cyril dan menjelaskan bahawa beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti itu.


Menurutnya, segala pencapaian yang disebut oleh Cyril adalah hasil usaha pasukan yang dibentuknya sebagai ADUN Kapayan dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Cyril sebagai PPM.


Jannie turut menafikan dakwaan bahawa beliau mengabaikan kebajikan kakitangannya dan menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh bekas petugasnya, Apain Soriun, di media sosial sebagai fitnah.


“Apain telah ditamatkan perkhidmatan kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan dan keengganan berterusan untuk hadir ke pejabat serta menghadiri mesyuarat,” katanya.


Terdahulu, Cyril membuat pengumuman tersebut malam tadi dalam satu program bersama Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.


“Tiada nilai dalam pendakian lebih tinggi jika terpaksa memijak tangan yang pernah mengangkatmu,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page